Rangka Komputer Berbentuk Kasut Cooler Master Sneaker X Diperlihatkan

TechnologyDigital
16 Feb 2022 • 2:46 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Cooler Master ialah sebuah jenama komponen dan aksesori komputer yang cukup terkemuka di seluruh dunia. Mereka hadir dengan penawaran rangka komputer, bekalan kuasa, penyejuk CPU dan papan kekunci, tetikus dan fon kepala yang boleh dibeli dan dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

image is not available

Terkini, bersempena dengan ulang-tahun ke-30 syarikat tersebut, mereka telah memperkenalkan sebuah rangka komputer unik yang berbentuk kasut sneaker yang dinamakan Cooler Master Sneaker X. Rekaan rangka komputer ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana ia merupakan rekaan asli oleh PC modder terkenal JMDF yang diperlihatkan buat pertama kali di acara pengubahsuaian komputer Cooler Master World Series pada tahun 2020.

Menurut Cooler Master, rangka ini, walaupun hadir dengan rekaan yang sangat unik sekali, boleh memuatkan sebuah papan induk bersaiz ATX, kad grafik bersaiz penuh dan memuatkan sebuah sistem penyejukan cecair AIO tanpa masalah. Butiran mengenai sokongan rangka ini tidak diketahui lagi, tetapi ia dijangka akan diperlihatkan kelak.

image is not available

Pelancaran dan harga rasmi untuk rangka Sneaker X ini tidak diketahui lagi, tetapi menurut rakan kami di Cooler Master Malaysia, mereka menjangkakan bahawa terdapat kemungkinan rangka komputer ini akan memasuki pasaran tempatan sekitar suku ketiga tahun ini.