‘Cadangan Kad Warga Asing perlu dibincang antara parti di Sabah

Politics
26 Feb 2022 • 12:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) menyeru agar perbincangan antara parti-parti politik yang ada di Sabah diadakan terhadap cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk memberikan Kad Warga Asing sebelum sebarang keputusan dibuat.

Ketuanya, Christoper Mandut (gambar), turut berharap perkara tersebut dibawa serta dibahas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terlebih dahulu.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda PBS tidak akan mendiamkan diri sekiranya tiada perbincangan dibuat.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri mengenai cadangan pemberian kad Warga Asing yang telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Sabah.

“Sebarang pemberian apa-apa dokumen pengenalan diri perlu diteliti dari semua sudut kerana ia adalah isu yang sensitif dan melibatkan perlembagaan,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau juga berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor atas penjelasan beliau bahawa belum ada sebarang keputusan dibuat berkaitan cadangan pemberian Kad Warga Asing itu dan akan membincangkan perkara ini terlebih dahulu dengan jawatankuasa berkaitan serta Kabinet Negeri.

Christoper turut bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh bekas presiden PBS yang juga Huguan Siou (Pemimpin Agung masyarakat Kadazandusun), Tan Sri Pairin Kitingan yang berkata bahawa rakyat adalah tanggungjawab Kerajaan dan bukannya yang bukan warganegara.

“Isu pendatang tanpa izin (PTI) ini perlu diselesaikan dengan segera dan kuasa politik Kerajaan Negeri dan Pusat perlu bekerjasama,” katanya.

Christoper juga meminta Kerajaan Pusat melipatgandakan usaha mempertahankan kuasa-kuasa imegresen berkaitan isu PTI.

Dalam pada itu, beliau bersama dengan semua ahli pergerakan pemuda turut memuji usaha yang diberikan oleh Presiden PBS yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang begitu konsisten dalam mempertahankan hak rakyat Sabah di peringkat Persekutuan serta mewujudkan hubungan baik yang seiring dengan hala tuju Kerajaan Negeri.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan untuk mempertahankan hak-hak Sabah dan dalam masa yang sama memelihara hubungan baik Persekutuan-Negeri bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat Sabah,” katanya, yang juga Pengerusi KKIP Property Sdn Bhd.

Christoper menyeru semua rakyat Sabah agar terus bersatu hati dan mempertahankan hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.