
Kota Kinabalu: Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu Covid-19 hampir dua kali ganda pada Jumaat iaitu 909 kes, pertambahan 433 kes berbanding angka Khamis lepas.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kali terakhir Sabah merekodkan kes di atas paras 900 kes ialah pada 30 September 2021 iaitu sekitar empat 4 bulan lepas.
Menurut Masidi, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, tiga daerah mencatatkan kes tiga angka pada Jumaat iaitu daerah Sandakan yang mencatatkan angka tertinggi dengan 185 kes (+92), disusuli Penampang dengan 115 kes (+44) dan Kota Kinabalu 101 kes (+24).
“Jangkitan yang berpunca dari kes bergejala di ketiga-tiga daerah ini juga tinggi iaitu Sandakan 37.84 peratus (70 kes), Penampang 33.04 peratus (38 kes) dan Kota Kinabalu 55.45 peratus (56 kes),” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sementara itu, 16 daerah merekodkan kes dua angka termasuk Tuaran dengan 86 kes (+42), Lahad Datu 57 kes (+40), Beaufort 57 kes (+39), Kota Marudu 53 kes (+37) dan Papar 36 kes (+27).
“Hanya empat daerah mencatatkan kes satu angka dan 4 daerah lagi tidak mencatatkan sebarang kes baru. Hampir seluruh daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes dengan 10 daripadanya mencatatkan peningkatan pada kadar dua angka,” tambah Masidi.
Sebanyak 89 kes dikesan dari 9 kluster aktif termasuk 4 kluster baharu yang diumumkan pada Jumaat.
“Semua kluster baharu hari ini adalah kategori kluster institusi pendidikan,” katanya.
Empat kluster baharu itu ialah Kluster Jalan Pendidikan melibatkan SMK Mat Salleh di Ranau; Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh di Sandakan membabitkan sekolah MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens; Kluster Jalan Tandek melibatkan SMK Tandek 1 dan Kluster Jalan Taman Beringin, melibatkan SMK Bandau, kedua-dua nya di daerah Kota Marudu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
