Kongres Kesatuan Sekerja Dakwa Majikan Malaysia Paling ‘Kedekut’ Bayar Gaji Di Asia Tenggara?

Entertainment
23 Feb 2022 • 5:12 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Hanya membelanjakan 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk gaji pekerja, majikan di Malaysia disifatkan paling kedekut di Asia Tenggara.

Utusan melaporkan bahawa angka peratus itu adalah angka terendah di rantau ini berbanding Singapura (40 peratus), Indonesia (84 peratus) dan Filipina (76 peratus) di bandar-bandar utama negara tersebut.

Pun begitu, perbezaan yang ketara itu haruslah diambil kira mengikut populasi negara dengan Malaysia yang mempunyai 33 juta, Indonesia (273 juta), Filipina (109 juta) dan Singapura (5.6 juta).

 

Tidak masuk akal – Presiden MTUC

Namun begitu, Presiden Kongres Kesa­tuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor labelkan peratusan bayaran yang begitu rendah itu tidak masuk akal kerana majoriti majikan mampu membayar lebih daripada gaji minimum RM 1,200.

image is not available

Tambahnya, kerajaan telah membantu majikan dalam pelbagai bentuk bantuan bagi meraih semula pendapatan yang hilang sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Mereka sering berkata sekarang bukan masa sesuai untuk menaikkan gaji minimum ke RM1,500 kerana kesukaran ekonomi dan Covid-19. Alasan ini sudah menjadi standard, sedangkan kerajaan telah mendahulukan pelbagai jenis bantuan bernilai berbilion ringgit.”

“Bayangkan, majikan Malaysia hanya membelanjakan 25 peratus daripada KDNK untuk membayar gaji pekerjanya, Malaysia sudah menjadi negara paling kedekut di Asia Tenggara.”

Beliau turut mengulas pendirian Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan pakar-pakar ekonomi yang membantah kenaikan gaji minimum RM 1,500 berdasarkan pelbagai faktor.

image is not available

Ia berikutan dengan jaminan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang akan melaksanakan gaji minimum baharu selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Sumber menyatakan bahawa, kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet Tahun 2020.

Dalam masa yang sama Datuk Abdul Halim turut menempelak kenyataan MEF yang mengatakan bahawa kenaikan gaji minimum hanya memberi untung kepada pekerja asing.

“Pekerja asing untung kerana majikan hanya mementingkan pekerja asing bukan gaji pekerja tempatan yang diberhentikan. Kenapa pekerja tempatan tidak mahu mengambil pekerjaan tertentu?”

image is not available

Beliau mengimbau ketika perlaksanaan gaji minimum mula diperkenalkan RM 900 sebulan bagi Semenanjung Malaysia manakala RM800 bagi Sabah dan Sarawak, pada waktu itu ekonomi negara menjadi semakin rancak.

“Kebanyakan syarikat tidak tutup pada masa itu, malahan lebih banyak syarikat ditubuhkan, pelaburan asing juga banyak masuk ke dalam negara. Jadi, kerajaan perlu tegas dengan keperluan rakyat. Rakyat sudah banyak berkorban, mengeluarkan duit KWSP, majikan perlu prihatin.”

Beliau menegaskan bahawa pekerja adalah aset dan tulang belakang negara. Jika kebajikan kerja diutamakan, pasti majikan akan mendapat pulangan yang lebih baik. Malah, hal kenaikan gaji ini bukanlah satu permintaan, tetapi satu keperluan.

 

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.