
KUNAK: Beberapa peniaga di Kedai Papan Sementara di sini diberi kebenaran sementara untuk membina premis konkrit di satu kawasan yang belum dimajukan bersebelahan Pasar Am Kunak, di sini.
Ia susulan notis perobohan rumah kedai itu pada Selasa (15 Februari).
Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kunak (MDKNK), Mohd Nazri Pintal berkata, selepas berbincang dengan beberapa agensi, kawasan tanah yang dimaksudkan itu difahamkan berada di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi masih belum dimajukan dengan sebarang infrastruktur.
“Pihak Majlis Daerah setakat ini tidak mengeluarkan kelulusan bertulis (untuk pembinaan bangunan konkrit di tanah itu) kerana isu tanah di situ kurang jelas,” katanya, Isnin.
“Tetapi setelah berbincang dengan beberapa agensi, kami memutuskan untuk memberi kelonggaran untuk peniaga membina premis konkrit di kawasan itu.
“Difahamkan terdapat enam lot kedai sedang dibina di kawasan tapak itu dengan kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh peniaga terlibat.
“Peniaga boleh menggunakan premis konkrit itu selagi kawasan itu belum diambil alih oleh pemiliknya untuk tujuan lain.”
Nazri berkata, Majlis memahami situasi sukar yang dihadapi beberapa peniaga yang belum memperoleh tempat lain untuk menjalankan operasi mereka, termasuk mendengar beberapa cadangan daripada pemimpin setempat dan juga peniaga sendiri.
Bangunan Kedai Papan Sementara yang berusia beberapa dekad itu akan dirobohkan bagi memberi laluan pembinaan bangunan baharu di kawasan milik perkadaran Majlis Daerah Kunak, di sini.
“Secara keseluruhannya, terdapat 29 lot di bangunan Kedai Papan Sementara itu yang terdiri daripada pelbagai perniagaan termasuk bengkel, kedai runcit, salun, kedai pakaian, kedai aksesori kenderaan, restoran dan warung, serta kedai perabot,” katanya.
Sebelum ini, pihak MDKNK telah mengeluarkan notis awal selama tiga bulan sehingga 2 Februari lalu, dan rayuan peniaga telah dilanjutkan sehingga selepas cuti Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.
