Pemandu Grab, kelindan lori dicekup curi minuman keras

23 Feb 2022 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

AMPANG - Pemandu Grab dan kelindan lori dicekup anggota polis selepas mencuri minuman keras dari sebuah serbaneka di Jalan Pandan Indah di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.05 pagi itu, anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan tersebut ternampak seorang pekerja wanita sebuah kedai serbaneka sedang mengejar dua lelaki sambil menjerit meminta tolong.

"Kedua suspek yang masing-masing berumur 34 tahun dan 28 tahun itu kemudiannya berjaya diberkas lebih kurang 50 meter dari tempat kejadian.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua suspek berjaya menemukan dua bungkusan plastik mengandungi 12 tin arak dipercayai dicuri di kedai serbaneka tersebut dianggarkan bernilai RM78," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, siasatan mendapati kedua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan direman empat hari untuk tindakan lanjut.