Pemandu cedera, lori terperangkap jambatan runtuh

22 Feb 2022 • 3:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

RAUB - Sebuah lori membawa surat khabar terperangkap dalam kejadian jambatan runtuh di jalan lama Bentong-Raub, dekat pekan Tranum di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, pemandu lori, Chia Kein Bong, 30, mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, kejadian jambatan runtuh itu berlaku dipercayai akibat hujan lebat sejak tengah malam Isnin hingga awal pagi Selasa.

Menurutnya, akibat kejadian, laluan tersebut ditutup di kedua-dua arah kepada semua jenis kenderaan.

Berdasarkan info Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub, kejadian runtuhan jambatan Sungai Teras itu melibatkan kawasan sepanjang 20 meter dengan tinggi runtuhan kira-kira lima meter.