Filem dan Drama Melayu Menarik Untuk Ditonton Cuti Ini

Entertainment
3 Feb 2022 • 5:00 PM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Image from: Filem dan Drama Melayu Menarik Untuk Ditonton Cuti Ini

Nampaknya perayaan Tahun Baru Cina akan tiba tidak lama lagi. Sahabat-sahabat kita yang berbangsa Cina akan menyambut hari perayaan mereka pada 1 dan 2 haribulan Februari 2022. Semestinya ia lebih bermakna apabila seluruh negara mendapat cuti umum pada kedua-dua hari ini. Tambahan pula bagi mereka yang menetap di Wilayah Persekutuan, cuti Hari Wilayah yang setiap tahun disambut pada 1 Februari akan digantikan pada 3 Februari tahun ini. Untunglah orang-orang Wilayah, kan?

Jadi, pada hari cuti ini, apa kata kita luangkan masa bersama ahli keluarga ataupun menggunakan masa tersebut untuk mendapatkan rehat yang secukupnya. Sekiranya anda seperti saya dan tidak ke mana-mana cuti ini, apa kata anda gunakan masa lapang ini untuk menonton beberapa filem Melayu atau drama yang menarik dan pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa? Boleh juga anda ajak ahli keluarga atau rakan-rakan bersama. Lebih ramai lebih meriah, kan?

Walaupun ada beberapa filem dan drama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, malangnya, sesetengah drama dan filem ini kurang mendapat sambutan di dalam negara. Saya agak ia mungkin disebabkan kurang pemasaran dilakukan di dalam negara atau adakah warga Malaysia kurang berminat menonton filem dan drama Melayu? Ini saya kurang pasti, tapi yang saya tahu, filem-filem dan drama-drama yang saya cadangkan ini best untuk ditonton dan terdapat moral disebaliknya yang boleh diambil sebagai pengajaran dan iktibar untuk kita.

  • Olympic Dream (Filem)

Sumber: IMDB

Pernahkah anda dengar tajuk filem Olympic Dream sebelum ini? Ini bukan filem Hollywood tau, ini adalah filem Melayu Malaysia.

Filem ini berkisar tentang sukan badminton Malaysia — iaitu salah satu sukan yang banyak mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Filem ini ialah sebuah filem drama tentang seorang kanak bernama Anna Wong yang dibesarkan oleh seorang wanita Melayu semenjak dia kecil lagi. Anna berminat dan bercita-cita untuk menjadi seorang pemain badminton kebangsaan dan sanggup bersusah payah untuk menggapai cita-citanya walaupun dia mempunyai masalah kesihatan. Anna berlatih selama bertahun-tahun sehingga berjaya menjadi salah seorang pemain badminton kebangsaan dan memasuki sukan Olimpik. Namun, ada beberapa halangan yang datang apabila Anna dan pasangan beregunya sampai ke peringkat Olimpik. Jadi, apa yang berlaku selepas itu?

Apa yang menarik tentang filem ini juga ialah penampilan lagenda-lagenda badminton Malaysia seperti Ong Ewe Hock dan Cheah Soon Kit serta bekas pemain badminton negara seperti Janice Woon dan Vivian Hoo. Lebih mantap lagi apabila Datuk Rashid Sidek juga turut muncul dalam filem ini.

Pada pendapat saya, filem ini paling sesuai untuk ditonton sekarang, terutamanya kerana isu semasa yang sedang bergolak di antara BAM dan pemain-pemain badminton kebangsaan kebelakangan ini. Mungkin kita lupa bahawa sukan badminton adalah salah satu sukan kegemaran rakyat Malaysia dan ramai atlet dan lagenda badminton Malaysia memberi sumbangan yang tinggi kepada sukan ini.

Pengarah filem Olympic Dream ini ialah Don Hoe dan watak utama dilakonkan oleh Maya Karin, Jean Tan, dan Jordon Voon iaitu seorang pelakon Hong Kong-Malaysia. Filem ini telah berjaya memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Filem Asia Terbaik di Festival Filem New York City IO 2021; Anugerah Khas Juri di Festival Filem Chambal International 2019 dan Anugerah Kepujian dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem & TV Ramsgate, England.

  • Crossroads: One Two Jaga (Filem)

Sumber: IMDB

Siapa pernah tonton filem ini di pawagam, angkat tangan! Filem ini adalah arahan Namron atau nama sebenar beliau, Shahili Abdan. Pada mulanya, filem ini kurang mendapat sambutan atau kurang meluas pemasarannya di media massa dan media sosial. Maka, waktu tayangannya di pawagam dipendekkan. Dengar kata, salah satu sebab lain ialah kerana jalan ceritanya yang sedikit kontroversi kerana menyentuh isu korupsi dan memaparkan sisi gelap anggota polis. Pada pendapat saya, apa salahnya kita ketengahkan isu-isu sebegini kerana perkara-perkara begini memang berlaku dalam kehidupan kita. Lebih-lebih lagi jika sebuah filem yang menonjolkan isu-isu semasa ini dapat juga mengetengahkan pengajaran disebalik keburukan yang dilakukan. Yang penting, filem begini dapat dijadikan sebagai pengajaran untuk penonton — kini dan juga di masa hadapan.

Filem yang ditayangkan pada bulan September 2018 ini dibintangi ramai pelakon-pelakon tersohor tanah air seperti Zahiril Adzim, Sofia Jane, Zaidi Omar, Amerul Affendi, Ario Bayu, Asmara Abigail, Bront Palarae, dan Azman Hassan.

Kebelakangan ini, negara kita dikejutkan dengan beberapa berita tentang “rasuah” high profile dan walaupun saya tidak mahu mengulas isu politik negara, saya rasa filem ini boleh sedikit sebanyak memberikan impak kepada penonton buat masa sekarang.

Di Festival Filem Malaysia ke-30 yang berlangsung pada 30 Mac 2019, filem ini telah memenangi 6 anugerah termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Poster Terbaik. Filem ini juga telah memenangi 2 anugerah di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 bagi kategori Pengarah Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

  • Keluarga Baha Don (Drama Bersiri)

Sumber: IMDB

Drama bersiri Keluarga Baha Don ialah sebuah drama komedi yang ditayangkan di perkhidmatan penstriman Viu buat pertama kalinya pada bulan Julai 2019. Kali pertama saya menonton drama ini dengan isteri memang tak kering gusi dibuatnya! Lawak bersahaja menggunakan bahasa pasar dan lakonan yang tidak kaku membuatkan watak-watak dałam Keluarga Baha Don ini seakan-akan keluarga sebenar — walaupun sekiranya mereka adalah mafia.

Mungkin kurang sesuai untuk kanak-kanak disebabkan penggunaan bahasa 18PL dan beberapa aksi “berat” dan “ganas”, namun Keluarga Baha Don adalah sebuah siri yang sangat berjaya sehingga ia sudah memasuki musim ke-3 pada tahun 2021.

Keluarga Baha Don pernah membawa pulang anugerah Program Komedi Terbaik daripada Anugerah Akademi Kreatif Asia 2019 untuk drama musim pertamanya. Salah satu watak utama drama ini, Kesuma yang dilakonkan Jihan Muse juga berjaya membawa pulang Anugerah Akademi Kreatif Asia bagi Persembahan Komedi Terbaik pada tahun yang sama.

Siapa-siapa yang ada masa lapang tu bolehlah tonton drama bersiri ini pada hari cuti nanti sebab memang kelakar dan tidak membosankan.


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.