PPP Lantikan Kontrak Gembira Kontrak Dilanjutkan, Terus Gesa Diserap Tetap

4 Feb 2022 • 5:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
PPP lantikan kontrak Gred U29 dilanjutkan kontrak selama setahun semalam. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Penolong Pegawai Perubatan (PPP) lantikan kontrak Gred U29 menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan tempoh kerja 1,243 petugas kesihatan berkenaan kerana disifatkan mampu membantu kelangsungan kehidupan dan kerjaya mereka.

Bagaimanapun, kumpulan itu terus mengharapkan kerajaan untuk menempatkan mereka ke jawatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut seorang petugas kesihatan itu, Muhamad Izhar Izham, 28, lantikan secara kontrak mengekang mereka daripada memperoleh manfaat seperti diterima kakitangan tetap, antaranya tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kami bersyukur menerima surat memaklumkan perkhidmatan kami dilanjutkan selama setahun, tetapi apa yang kami perjuangkan adalah diserap ke jawatan tetap.

“Ia membolehkan kami mendapat semua manfaat dimiliki kakitangan tetap, antaranya peluang menyambung pelajaran, pencen dan kemudahan pinjaman perumahan,” katanya ketika dihubungi Getaran hari ini.

Beliau berkata, tindakan kumpulan itu melancarkan ‘protes’ baru-baru ini hanya untuk membuka mata semua pihak bahawa khidmat mereka masih diperlukan bidang kesihatan, termasuk membantu negara menangani pandemik COVID-19.

Katanya, ditambah kesihatan adalah antara sektor terbesar negara dengan peruntukan terbanyak saban tahun, ia perlu memiliki jumlah tenaga kerja diperlukan bagi membantu melancarkan pengurusannya.

“Mesej ingin disampaikan menerusi protes itu adalah supaya kerajaan menerima kami sebagai kakitangan tetap, sekali gus membolehkan kami memperoleh manfaat seperti kakitangan tetap,” katanya.

Muhamad Izhar berkata, PPP lantikan kontrak turut melancarkan petisyen baru-baru ini yang pada mulanya disasarkan untuk ditandatangani 4,300 pegawai kesihatan itu.

Namun, katanya, mereka yang menandatangani dokumen itu melebihi jumlah ditetapkan, termasuk kakitangan tetap dan doktor sebagai menyatakan sokongan terhadap perjuangan PPP lantikan kontrak.

“Petisyen ini akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha KKM dalam waktu terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebahagian besar PPP lantikan kontrak masih bersemangat berkhidmat kepada masyarakat dalam sektor kesihatan dan membantu misi kerajaan membawa negara ke fasa endemik.

“Kami tahu peluang untuk diserap kepada jawatan tetap masih ada, jadi kami amat mengharapkan kerajaan membuka peluang itu,” katanya.

Getaran sebelum ini melaporkan seramai 4,300 PPP lantikan kontrak Gred U29 melancarkan protes secara maya bagi mendesak kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka ketika negara berdepan COVID-19.

Protes itu turut menggesa kerajaan memperjuangkan nasib sebahagian besar daripada petugas kesihatan secara kontrak terbabit yang dijadual ditamatkan perkhidmatan, selain mendesak mereka diserap ke jawatan tetap. - Getaran, 4 Februari 2022