#GiMana… Rancang Bercuti Ke Busan, Korea Selatan Selepas Covid-19 Reda

Travel
4 Feb 2022 • 9:00 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Image from: #GiMana… Rancang Bercuti Ke Busan, Korea Selatan Selepas Covid-19 Reda

Entah bila masalah pandemik di seluruh dunia ni akan berakhir. Dah lama saya tak melancong ke luar negara dan kadang-kadang rindu dengan perasaan teruja bila nak melancong; perancangan tempat-tempat yang ingin dituju yang dilakukan dengan teliti sebelum tarikh penerbangan; sibuk memeriksa kadar tukaran matawang dan kelam kabut menukar matawang asing sebelum berangkat dan macam-macam lagi. Ah, rindunya nak berjalan-jalan lagi! Walaupun sudah boleh melancong sekarang, tetapi bila difikirkan prosedur nak buat “swab test” dan kuarantin diri sebelum dan selepas ke luar negara tu yang tak tahan. Rasa macam terbazir masa yang digunakan untuk kuarantin, yang mana lebih baik saya gunakan untuk perkara-perkara penting yang lain.

Saya minat melancong sebab ada macam-macam benda baru yang boleh kita pelajari apabila kita melancong ke negara orang. Tatacara kita di negara orang juga berbeza dibandingkan bila berada di negara sendiri. Rasanya kebanyakan orang yang suka melancong akan mengatakan stress kerja sebagai sebab utama mereka suka melancong. Saya akui, saya pun suka gunakan alasan yang sama.

Gamcheon Cultural Village
Sumber: Tripsavvy

Tak salah kan nak berangan-angan untuk bercuti? Di sini saya ingin kongsikan apakah yang akan saya lakukan kalau saya dapat bercuti ke Busan, Korea Selatan satu masa nanti — selepas pandemik Covid-19 ini sudah berakhir.

  • Mengenali adat dan budaya di Busan

Sambil menyelam, sambil minum, kata orang tua-tua dulu. Begitulah yang sering saya lakukan apabila saya melancong ke mana-mana. Tentunya mengenali adat dan budaya orang di Busan adalah perkara yang akan saya lakukan kerana walaupun Korea Selatan ni sudah bertahun-tahun dikenali dengan artis-artis Kpop dan drama-drama Korea mereka yang menarik, namun mereka tetap menjaga adat dan budaya datuk nenek moyang mereka.

Contohnya adalah penggunaan pakaian tradisional mereka. Walaupun Korea Selatan sudah lama bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan kebanyakan anak-anak muda masa kini lebih terpengaruh dengan cara Barat, pakaian tradisional mereka dan adat istiadat acara-acara formal tetap digunakan.

Lagi satu yang saya rasa menarik tentang orang Korea Selatan ini ialah cara mereka menggunakan bahasa yang berbeza untuk bercakap dengan orang yang berpangkat atau lebih tua. Selain dari itu, dialek yang digunakan di Busan adalah berbeza dari dialek yang digunakan di Seoul ataupun di Jeju. Menarik, bukan?

  • Mencuba makanan di Busan

Busan mempunyai beberapa jenis masakan yang terkenal dan berbeza daripada yang boleh anda dapati di Seoul atau di tempat-tempat lain di Korea Selatan. Ini adalah satu sebab mengapa Busan adalah menarik pada pandangan saya. Bukan sahaja dialek, malah makanan juga ada perbezaannya di kawasan atau rantau yang berlainan. Makanan-makanan yang khusus boleh dijumpai di Busan adalah seperti Ssiat Hotteok, Milmyeon Busan, Pajeon Dongnae, Eomuk Busan, Gomjangeo dan banyak lagi. Tapi jangan risau, sudah tentu lah saya akan cari makanan yang Halal.

Ramai juga kawan-kawan saya yang sudah ke sana memberitahu bahawa terdapat banyak tempat makanan Halal di Busan. Makanya, tak pening kepala sangatlah nak cari makanan yang asli dan Halal kalau ke sana.

  • Mengambil gambar-gambar menarik

Terdapat banyak tempat-tempat menarik di Busan dan tempat-tempat ini menyeru jiwa fotografer saya (walaupun sebenarnya saya ni amatur je dalam fotografi). Tak dapat dinafikan kecantikan dan keindahan Busan. Ia sememangnya patut disemadikan di dalam gambar-gambar. Lagipun, bukankah mengambil gambar ketika melancong adalah satu kemestian?

Tempat-tempat menarik yang patut dilawati di Busan adalah seperti Menara Yongdusan Park, Gwangbok-dong Fashion Street, Pantai Haeundae, Pantai Gwangan, Oryukdo Skywalk, Gamcheon Culture Village dan macam-macam lagi.

  • Pengalaman bercuti pada musim sejuk

Sebenarnya, walaupun saya sudah ke beberapa negara bermusim sebelum ini, saya tak pernah lagi bercuti sewaktu musim sejuk. Nak juga saya merasa bagaimana bercuti dalam musim sejuk ni. Kebelakangan ni di Malaysia dengan cuaca yang tak menentu, asyik rasa migrain je sebab sekejap panas, sekejap hujan.

Kalau musim sejuk nanti, bagaimana pula ya? Tentu menarik pengalaman tersebut. Bolehlah guna baju tebal-tebal dan tutup telinga dengan ear-muffs.

Anda pula bagaimana? Dah pernah ke Busan, Korea Selatan sebelum ini atau ada angan-angan ke sana seperti saya juga?


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.