Semenjak dua menjak ini saya sering terfikir-fikir bila lagi boleh jalan-jalan ke luar negara. Langsung juga terkenang pengalaman-pengalaman lepas bercuti-cuti dengan isteri dan rakan-rakan. Kali terakhir saya pergi melancong ke luar negara adalah pada bulan Januari 2020, beberapa minggu sebelum Malaysia melaksanakan PKP yang pertama disebabkan wabak Covid-19. Semenjak dari itu, memang tak berani saya dan isteri ingin melancong atau berjalan-jalan walaupun di dalam negara kerana risau dengan situasi pandemik Covid-19 ini. Lebih-lebih lagi kerana kami menetap dengan orang tua yang sudah dalam kategori warga emas.
Angan-angan saya, kalau saya ada peluang di masa hadapan (dan sebelum masa mencemburui saya), saya ingin melancong ke Busan, Korea Selatan. Pada pendapat saya, Busan adalah suatu tempat yang menarik dan lain dari Kota Seoul. Walaupun Busan adalah kota kedua terbesar di Korea Selatan selepas Seoul, ia mempunyai tarikan yang berbeza dan ia masih mengekalkan sedikit sebanyak “tradisi lama” disitu.
Jika saya berkesempatan melancong ke Busan, ini adalah tempat-tempat yang ingin saya lawati:
- Haeundae Beach

Tidak dinafikan bahawa salah satu tempat peranginan yang saya suka lawati ialah tepian pantai. Kalau nak pergi bercuti tu, memang saya akan cari lokasi yang ada pantai dulu sebelum saya pertimbangkan lokasi-lokasi lain — walaupun sebenarnya saya tak tahu berenang. Keindahan pantai, bunyi ombak dan angin bayu laut memukul lembut ke pipi tu membuatkan saya selalu tertarik untuk ke lokasi yang berdekatan dengan pantai.
Haeundae Beach boleh dikatakan salah satu pantai paling ramai dikunjungi oleh orang-orang dari Korea Selatan dan juga dari luar negara. Dulu, Pantai Haeundae dikenali dengan hot springs tetapi sekarang ia lebih terkenal sebagai tempat percutian keluarga pada musim panas. Kadang-kadang, musim luruh pun masih lagi ada orang yang suka datang ke sini. Terdapat banyak aktiviti yang menyeronokkan untuk dibuat di sini seperti berjalan atau berbasikal di kaki lima, bermain layang-layang di tepi pantai dan mencari cangkerang.
Kalau nak berpiknik pun boleh. Oh, bestnya membayangkan lautan biru di pantai ni!
- Gwangan Bridge
Gwangan Bridge ialah jambatan gantung yang menghubungkan Haeundae-gu dengan Suyeong-gu. Jambatan yang kedua terpanjang di Korea Selatan selepas Incheon Bridge berukuran 7,420 meter panjang. Selain itu, jambatan ini kelihatan catnip kerana dihiasi dengan lampu warna-warni. Ini juga salah satu sebab kenapa saya kategorikan jambatan ni sebagai sesuatu yang menarik di Busan. Lampu di jambatan ini bertukar-tukar setiap hari dan juga pada setiap musim. Maknanya tak bosanlah kalau datang sini hari-hari.
Lebih menarik, macam-macam tempat tarikan lain yang boleh dilihat dari jambatan ini seperti Oryukdo Island, Hwangnyeongsan Mountain, Gwanggali Beach, Dongbaeksom Island dan Dalmaji Hill. Dengan warna lampu berbeza-beza setiap hari, tentu menarik ber’dating’ di sini, kan?
- Gamcheon Cultural Village


Salah satu tempat menarik di Busan ialah Gamcheon Cultural Village. Saya rasa sangat gembira apabila melihat bangunan berwarna-warni dan mural-mural menarik di dinding bangunan-bangunan di sini.
Gamcheon Cultural Village juga dipanggil sebagai “Santorini Korea” kerana warna-warna terang bangunan-bangunan di sini sangat mirip dengan bangunan-bangunan di Santorini, Greece. Kedudukan geografinya (di tepian pantai) dan warna-warna bangunannya menunjukkan kecantikan semula jadi kawasan ini.
Kalau diikutkan sejarah, Gamcheon merupakan tempat perlindungan pelarian perang pada tahun 1950-an dahulu. Pelarian-pelarian ini mulai menetap di kawasan ini sehingga terdapat lebih kurang 4,000 orang atau 800 buah rumah di kawasan ini. Selepas pembaikpulihan dari kerajaan, kawasan ini kelihatan seperti baharu. Tapi, sesetengah dari pembinaan lama masih dipelihara seperti tangga-tangga lama yang merupakan suatu perkara simbolik di Gamcheon Cultural Village ini.
- Busan Tower
Busan Tower terletak di Yongdusan Park, Jung-gu yang merupakan salah satu bukit yang terkenal di Busan.
Sepertimana Namsan Tower adalah simbol kota Seoul, Busan Tower pula adalah simbol kota Busan. Ketinggian Busan Tower ialah 120 meter dan berada di kedudukan 69 meter atas paras laut. Ia dimodelkan seperti Dabotap Pagoda di Bulguksa Temple, Gyeongju. Suasana di sini kelihatan cantik di waktu malam dengan lampu-lampu menerangi kawasan ini.
Kita juga boleh melihat tarikan-tarikan di kawasan sekeliling seperti Statue of the Great Admiral Yi Sun-Shin, Bell of the Citizens, Flower Clock, Museum of Musical Instruments of the World dan banyak lagi.
- Nampo-Dong
Nampo-Dong terkenal sebagai tempat membeli belah barangan berkualiti yang murah. Selain dari pelancong, ramai orang Busan juga suka membeli belah di sini. Boleh dikatakan, Nampo-Dong ini macam Petaling Street. Boleh tawar-menawar barang-barang yang dijual, contohnya barangan elektronik dani perkakasan kamera juga. Kalau ada diantara anda yang minat kamera atau fotografi tu, jangan melepaskan peluang untuk singgah di sini.

Saya pula lebih minat dengan buku. Di Nampo-Dong ada lorong dipanggil Bosu-dong dimana anda akan temui penjual buku-buku terpakai, majalah-majalah lama dan sebagainya. Buku-buku bahasa Korea, bahasa Jepun atau bahasa Inggeris boleh didapati disini. Tapi, buku bahasa Inggeris tak banyak bilangannya. Menurut sejarah, waktu zaman perang dulu, orang-orang disini mengamalkan jual beli buku-buku yang dibawa askar Inggeris ke Busan. Sifat ini diteruskan sehingga kini. Dan satu lagi, apa yang menarik di Busan ialah “lorong buku” ini adalah satu-satunya “lorong buku” yang masih wujud di Korea Selatan sekarang.
- Jagalchi Fish Market


Jagalchi Fish Market menarik juga, walaupun ia kelihatan seperti pasar di kawasan perumahan kita saja. Tapi, hasil tangkapan yang dijual di sini semuanya segar belaka selain terdapat gerai-gerai makanan segar di sini. Pasar ini terletak di kawasan Nampo-Dong, Jung-gu, dan Chungmu-dong, Seo-gu. Nama asal Jagalchi adalah dari perkataan Jagal yang bermaksud “kelikir”. Ini kerana terdapat banyak batu kelikir di sekitar kawasan ini dulu tapi sekarang, fenomena ini sudah banyak berkurangan.
Adakah anda berani untuk makan sotong hidup? Ya, sotong hidup yang masih bergerak tu. Di pasar ini terdapat kedai-kedai makan yang menjual makanan sangat segar seperti sotong hidup dan banyak lagi. Kalau nak cuba makan sotong hidup ni, pastikan kunyah betul-betul sebelum telan ya!
Jadi apa kata anda? Adakah anda juga berminat untuk ke Busan suatu hari nanti?
Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

