Peniaga sewakan premis kepada warga asing berdepan tindakan

21 Feb 2022 • 9:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga di Pasar Harian Selayang (PHS) dan Pasar Borong Kuala Lumpur yang menyewakan lesen premis perniagaan mereka kepada warga asing.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata tindakan penguatkuasaan boleh diambil dengan menamatkan serta-merta lesen premis perniagaan mereka dan disenaraihitamkan daripada memohon lesen perniagaan baharu.

"Saya sendiri dapat beberapa laporan berkaitan penglibatan warga asing yang tidak mempunyai permit kembali berleluasa berniaga di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di PHS.

"Saya sudah meminta Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melihat secara terperinci perkara ini dan tindakan akan dilakukan serta-merta,” katanya kepada Bernama.

Jalaluddin berkata demikian bagi mengulas laporan Bernama hari ini mengenai kumpulan warga asing yang kembali aktif menjalankan perniagaan secara haram di sekitar PHS dan Pasar Borong Kuala Lumpur meskipun kawasan itu pernah digempur beberapa kali oleh pihak berkuasa.

Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan juga dilaksanakan terhadap premis perniagaan yang dijalankan warga asing manakala surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada pemegang lesen yang mengambil pembantu atau pekerja bukan warganegara tanpa permit kerja sah.

Sementara itu, DBKL memaklumkan sebanyak 4,636 notis kompaun dikeluarkan kepada majikan yang menggaji pekerja asing termasuk 1,289 notis kompaun di Pasar Borong Kuala Lumpur dari Januari hingga Disember tahun lepas. - Bernama