
KOTA KINABALU - Maktab Rendah Saints MARA (MRSM) Tun Mustapha, Tawau muncul menjadi kluster berkaitan institusi pendidikan ke-13 di Sabah, hari ini.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, dikenali sebagai Kluster Jalan Apas Batu Lima, kes indeks ialah seorang pelajar asrama perempuan tingkatan lima yang disahkan positif selepas menjalani ujian saringan bergejala 26 Januari lalu.
"Saringan kontak rapat membabitkan rakan sebilik, sekelas dan teman rapat mengesahkan, 11 pelajar lain turut disahkan positif COVID-19.
"Semua pelajar terbabit diasingkan dan menjalani rawatan pemulihan," katanya di sini, hari ini.
Tambah Masidi, kontak rapat pesakit turut diarahkan menjalani kuarantin walaupun sehingga kini ujian saringan COVID-19 mereka dilaporkan negatif.
"Sebanyak 19 kluster aktif dilaporkan di seluruh negeri dan 13 daripadanya membabitkan institusi pendidikan.
"Jumlah kes harian baharu COVID-19 di Sabah, hari ini, melonjak kepada 490 kes berbanding 367 kes semalam," katanya.
Sandakan mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu 141 diikuti Kota Kinabalu (61) dan Penampang (54).
Sementara itu, sehingga jam 2 petang tadi, tiada sebarang arahan baharu atau maklum balas dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) berhubung peningkatan kluster COVID-19 membabitkan pelajar sekolah di sini. - Getaran, 2 Februari 2022
