Wanita jual produk mengandungi racun berjadual didenda

22 Feb 2022 • 12:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang wanita berumur 30 tahun didenda sejumlah RM6,500 kerana menjual produk mengandungi racun berjadual tanpa lesen, produk tidak berdaftar dan kosmetik tanpa label.

Alice Chong mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khaltom Abdul Samad, kepada tiga tuduhan terhadapnya pada Isnin.

Bagi tuduhan pertama, Chong didenda RM1,500 atau penjara enam bulan kerana memiliki untuk jualan 12 produk mengandungi bahan racun di mana tertuduh tidak mempunyai lesen untuk menjual produk tersebut, pada pukul 12.25 tengah hari 24 Mac 2021 di premis Zynia Cosmetic di Tingkat Bawah Pusat Beli-belah Bataras di Kolombong, Inanam.

Tuduhan menyatakan, antara racun berjadual yang dikesan dalam produk-produk itu adalah Tadalafil, Sibutramine dan Hydroquinone yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952.

Kesalahan di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun itu boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta sama yang membawa denda sehingga RM3,000, atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Chong didenda RM2,500 atau penjara lapan bulan kerana memiliki empat produk tidak berdaftar iaitu dua botol Vimax, sebotol Bazooka, sekotak Minyak Lintah dan lapan kotak Minyak Herba Asma Mujarab.

Kesalahan itu dilakukan di tempat dan masa yang sama.

Bagi tuduhan ketiga, Chong didenda RM2,500 lagi atau penjara lapan bulan kerana memiliki untuk jualan empat kosmetik tanpa label di tempat dan masa yang sama.

Mahkamah tidak membenarkan permohonan Chong untuk membayar denda secara ansuran tetapi memerintahnya untuk membayar RM3,000 pada Isnin dan bakinya sebelum 22 Mac tahun ini.

Pegawai Pendakwa Lim Lay Ping dari Jabatan Farmasi hadir untuk pendakwaan sementara Chong tidak diwakili.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.