
Kota Kinabalu: Sabah merekodkan kes harian Covid-19 sebanyak 5,007 kes pada Ahad, penyusutan 352 kes berbanding hari sebelumnya.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata jumlah itu masih amat tinggi.
Dalam laporan hariannya malam tadi, Masidi berkata peratusan tinggi jangkitan sporadik dalam komuniti adalah satu petunjuk bahawa jumlah kes harian di Sabah akan kekal tinggi dalam masa terdekat.
“Hari ini 63.13 peratus kes baharu berpunca dari jangkitan sporadik,” katanya sebelum menambah, 21 dari 27 daerah di Sabah merekodkan kes bergejala (jangkitan sporadik) sebagai kategori jangkitan yang tertinggi.
Peratusan kes bergejala di seluruh Sabah ialah 63.13 peratus atau 3,161 dari 5,007 kes, katanya.
Jumlah kluster aktif di Sabah ketika ini ialah 41 dengan penamatan dua kluster iaitu Kluster Kayul di Kuala Penyu dan Kluster Pandan-Pandan di Putatan.
Satu kluster baharu diisytiharkan pada Ahad iaitu Kluster Jalan Beluran Lama di Beluran. Ia melibatkan pelajar Asrama SMK Beluran yang setakat Ahad, merekodkan 35 kes positif.
Sabah turut merekodkan empat kes kematian pada Ahad iaitu masing-masing satu kes di Ranau, Lahad Datu, Keningau dan Beaufort.
Bilangan pesakit sembuh pada Ahad ialah 4,107 orang manakala 2,919 pesakit sedang menerima rawatan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
