
Kota Kinabalu: Sabah mencatatkan angka jangkitan baharu tertinggi pada Rabu, melepasi paras angka 5,000 dengan 5,082 kes.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, jumlah peningkatan berbanding Selasa lepas 708 kes.
“Kota Kinabalu mencatatkan kes baharu tertinggi di Sabah dengan 1,086 kes dan hampir 60 peratus daripada kes-kes di Kota Kinabalu adalah kes bergejala yang berpunca dari jangkitan sporadik,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Apa yang membimbangkan, katanya, ialah hakikat bahawa jangkitan secara sporadik sudah menjadi satu trend di hampir semua daerah di Sabah dan pada Rabu, 59.60 peratus atau 3,029 dari 5,082 kes adalah dalam kategori itu.
“Statistik tinggi jangkitan secara sporadik bermakna jumlah kes baharu akan berganda dengan lebih cepat. JKNS akan menghadapi kesukaran menjejak indeks kes untuk tujuan mengenal pasti kontak rapat bagi membendung penularan lebih luas,” katanya.
Sementara itu, Sabah turut merekodkan sembilan kes kematian pada Rabu iaitu masing-masing tiga di Tawau dan Papar dan masing-masing satu di Beaufort, Kudat serta Semporna.
Terdapat dua kluster institusi pendidikan baharu yang diisytiharkan pada Rabu iaitu Kluster Jalan Bandau di Kota Marudu dan Kluster Jalan Sokid di Ranau.
“Kluster Jalan Bandau di daerah Kota Marudu melibatkan pelajar asrama SMK Kota Marudu 1. Kes indeks merupakan seorang pelajar lelaki, warganegara, berumur 18 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala pada 9 Februari 2022.
“Saringan terhadap kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas telah mendapati pertambahan 95 kes.
“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif ialah 96 kes positif setakat 16 Februari,” kata Masidi.
Sementara itu, Kluster Jalan Sokid di Ranau adalah kluster institusi pendidikan melibatkan SMK Bundu Tuhan.
Kes indeks adalah seorang lelaki warganegara berumur 24 tahun dan merupakan seorang pekerja kontrak pembersihan di SMK Bundu Tuhan.
“Kes indeks dikesan melalui saringan bergejala pada 4 Februari. Saringan dalam kalangan kontak rapat yang terdiri dari rakan sebilik dan rakan sekelas telah mendapati pertambahan 27 kes. Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif Kluster ini ialah 28 kes positif setakat 16 Februari,” katanya sambil menambah jumlah kluster aktif di Sabah ketika ini ialah 39.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

