#PetuaHidup Bagaimana Memilih Rakan Melancong Bersama

1 Mar 2022 • 9:00 AM MYT
Bidasari Bahashim
Bidasari Bahashim

A blogger who love books, movies, music, food and traveling

image is not available

Never go on trips with anyone you do not love.” -Ernest Hemingway

Walaupun kes Covid-19 semakin meningkat sejak akhir-akhir ini, telah ramai yang membuat pindaan kepada rancangan jalan-jalan cari makan samada bersama keluarga dan teman-teman kerana risaukan penularan jangkitan Covid-19. Ada yang menangguhkan rancangan dan ramai juga yang membatalkan terus aktiviti riadah berjalan-jalan ini.

Sungguhpun begitu, terdapat ramai juga yang membuat perancangan sekarang untuk berjalan-jalan apabila keadaan menjadi reda kelak.

Jadinya den hendak berkongsikan enam (6) petua yang mudah di dalam memastikan program jalan-jalan cari makan yang akan dilaksanakan memberikan impak maksima iaitu menceriakan hati, meninggalkan kenangan manis dan rasa berbaloi dengan wang dan masa yang dilaburkan.

Salah memilih teman untuk berjalan bersama atau dikenali juga sebagai travelling buddy akan memberikan kesan yang tidak begitu gembira sepanjang perjalanan tersebut.

1. Sanggup susah senang bersama

Bagi mana-mana sesi jalan-jalan, tidak kira samada bersama keluarga atau teman-teman, keadaan luar jangka memang boleh berlaku tidak kira sebaik mana kira merancang perjalanan tersebut. Kadang kala faktor cuaca, jadual perjalanan kenderaan awam yang berubah seperti pemindahan waktu penerbangan secara tiba-tiba oleh syarikat penerbangan, penginapan samada hotel atau rumah penginapan (homestay) yang nampak indah di ruang atas talian tetapi agak mengerikan di dunia realiti, faktor kesihatan dan sebagainya.

Teman yang sanggup bersama-sama mengharungi pelbagai perkara di luar jangka yang mungkin berlaku tanpa merungut atau menyalahkan sesiapa malahan menyejukkan dan menyabarkan hati kita adalah teman yang terbaik di dalam mana-mana perjalanan.

2. Tidak berkira dan boleh berlebih berkurang (bertoleransi)

Tidak berkira ini besar ye skopnya. Bukan sahaja tidak berkira daripada segi kewangan tetapi juga daripada pelbagai perkara lain.

Kalau naik kapal terbang, dia sahaja yang hendak duduk di tepi tingkap. Nampak macam kecil isunya tetapi kadang kala kita pun ingin melayan perasaan sambil melihat langit biru diselaputi awan memutih. Sekiranya hanya ini isu rakan melancong anda, penyelesaian untuk perkara begini adalah menempah tempat duduk berbeza di mana semua orang duduk di tepi tingkap.

Kalau duit masuk toilet 50 sen pun dituntut semula oleh teman melancong korang, mungkin korang perlu teliti semula adakah korang selesa dengan keadaan berkira yang terlalu mendalam atau bagaimana. Itu belum lagi kalau berkira bab bayaran terlebih muatan bagasi. Ini memang mengundang rasa yang tidak seronok semasa melancong.

Terlalu berkira bab duit terutamanya bagi perkara yang remeh temeh sememangnya akan merosakkan suasana perjalanan yang dirancang kerana kita manusia biasa yang punya hati dan perasaan.

3. Tidak banyak cerita, tidak cerewet dan tidak banyak permintaan

Den pernah pergi ke satu program melancong bersama kawan-kawan sepejabat. Terdapat dua orang di dalam kumpulan tersebut yang agak cerewet. Mereka berdua tawaf pusing satu kawasan yang luasnya boleh tahan untuk mencari cenderahati tetapi pulang dengan tangan kosong kerana tidak ada cenderahati yang berkenan di hati. Sehingga hari kami hendak berangkat pulang di lapangan terbang mereka berdua masih tidak berjumpa dengan apa yang dicari sampai menangis-nangis kerana tidak mempunyai cenderahati yang mencukupi untuk dibawa pulang kepada keluarga dan rakan-rakan.

Rungutan tidak menjumpai cenderahati ini diperkatakan sehingga kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ada pelbagai cerita lagi berkaitan dua orang anggota rombongan yang cerewet ini semasa program melancong tersebut.

Selepas kami masuk ke pejabat, terdapat dua orang rakan yang menyertai program melancong tersebut memberitahu den mereka ingin menyertai sesi rombongan akan datang ke mana-mana tempat tetapi sekiranya dua orang rakan yang cerewet tersebut menyertai rombongan yang sama mereka tidak akan pergi kerana mereka hendak bersantai dan merehatkan diri. Mereka tidak mahu melayan karenah rungutan yang tidak berkesudahan.

4. Mempunyai minat yang lebih kurang sama

Jangan mengajak kawan-kawan yang bertema berjalan-jalan sebagai membeli-belah sampai pengsan, sekiranya konsep berjalan-jalan korang adalah bersantai minum air kelapa muda sambil melayan hembusan bayu di tepi pantai.

Tidak sama agenda mereka yang mengukur luas kompleks membeli belah dengan mereka yang berbicara dengan ombak yang menghempas pantai.

Sekiranya tiada titik pertemuan yang membolehkan kedua-dua pihak dengan minat yang berbeza ini berlebih berkurang, maka disarankan supaya mencari rakan melancong yang mempunyai minat yang lebih kurang sama dengan kita.

5. Boleh bersetuju dengan peruntukan kewangan melancong

Ada orang hendak melancong tetapi mereka meletakkan peruntukan kewangan yang sangat terhad. Serba serbi kalau boleh temanya ada bajet. Bajet hotel, bajet makan, program bajet dan sebagainya.

Sekiranya bercuti atau melancong maksud korang adalah memilih hotel yang agak selesa tetapi pada harga yang sedikit tinggi, makan makanan laut yang paling segar, melihat matahari terbenam di atas yatch dan sebagainya kerana bukan selalu korang berjalan, makanya mungkin perlu pertimbangkan semula samada rakan yang mempunyai peruntukan terhad sesuai dengan itinerari korang.

6. Mempunyai kudrat yang lebih kurang sama

Stamina mereka yang memanjat bukit atau gunung serta mereka yang berlari marathon saban bulan adalah tidak sama dengan mereka yang sendi lututnya telah longgar dan rasa bercinta hendak menaiki tangga dari tingkat 12 ke tingkat 13.

Ini penting kerana ianya akan menentukan tentatif program melancong anda serta peruntukan yang terlibat. Jangan nanti sudahnya korang hanya terperap di bilik hotel kerana agenda yang dirangka oleh kawan korang melibatkan program berjalan kaki sejauh 2 kilometer mencari tempat menarik.

Yang terbaik adalah selepas semua lawatan selesai, kita boleh bersama-sama minum kopi sambil ketawa dan menggeleng kepala mengenang kembali apa yang berlaku sepanjang perjalanan tersebut. Yang ini adalah teman berjalan-jalan yang sewajarnya dikekalkan di dalam ruang hidup kita supaya kita boleh merancang sesi melancong yang lebih baik di tempat lain di masa akan datang.

Pilih rakan melancong korang yang awesome ye.

#Lifehacks / #PetuaHidup / #生活小妙招


Bidasari Bahashim adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.