
Impak perubahan iklim (climate change) ke atas Malaysia kian menjadi satu isu yang hangat diperdebatkan berdasarkan dua (2) kejadian yang berlaku di akhir Disember 2021 dan akhir Januari 2022.
Pada 18 Disember 2021, banjir besar melanda Selangor terutamanya Shah Alam dan Hulu Langat. Belum sempat sukarelawan menyapu keringat melaksanakan kerja penyelamatan dan pembersihan di Selangor, banjir besar melanda Pahang terutamanya Bera dan yang melibatkan penampakan balak-balak yang hanyut dan menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.
Ribut taufan yang menghentam Shah Alam dan Ipoh pada Januari 2022 di mana ianya menjejaskan sambutan perayaan Tahun Baru Cina bagi kawasan yang terlibat mengejutkan hampir semua kerana Malaysia dikatakan antara negara yang terlindung daripada lingkungan bencana alam (nature disaster).
Disebabkan semakin kerap pula Malaysia mula menerima pelbagai musibah bencana alam yang mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor, den cuba senaraikan lima (5) perkara yang kita boleh sediakan untuk diri dan keluarga kita kerana berdasarkan beberapa insiden yang berlaku, kita dapat amati bahawa kadang kala tindakan daripada pihak berkuasa dan berwajib agak lambat dan dalam beberapa keadaan, kita perlu menyelamatkan diri sendiri kerana sekuat mana pun kita cuba mempraktiskan konsep ‘no man left behind’, kadang kala kita terjebak di dalam kategori ‘every man is on his own’ di mana kita perlu menyelamatkan diri sendiri sebelum kita boleh menyelamatkan orang lain.
Pengalaman melalui pandemik Covid-19 yang menyebabkan lockdown beberapa kali di Malaysia juga secara tidak langsung mengajar kita supaya bersedia untuk menghadapi keadaan luar jangka yang mungkin terjadi sedaya upaya kita.
Jadinya lapan (8) perkara yang kita perlu sediakan di dalam menghadapi keadaan luar jangka terutamanya bencana alam adalah:
1. Beg kalis air yang mengandungi semua dokumen penting
Ini adalah beg yang mengandungi hanya dokumen penting yang kita perlukan terutamanya untuk urusan selepas bencana untuk pelbagai tujuan terutamanya bagi mendapatkan bantuan yang kita layak untuk mohon, urusan pentadbiran dan sebagainya.
2. Sebuah beg bertahan hidup (survival bag/kit)
Beg ini boleh mengandungi pelbagai benda yang kita rasakan perlu untuk kita bertahan hidup sementara menunggu bantuan tiba tetapi beg tersebut mestilah beg yang kita mampu galas untuk perjalanan jauh dan mencabar di mana kita mungkin perlu berjalan berkilometer, berenang atau meranduk sungai, memanjat bukit, berjalan di dalam dalam hujan lebat dan sebagainya. Apa jenis barang yang perlu ada di dalam beg ini akan den ceritakan di dalam post yang akan datang ye.
3. Telefon bimbit dan power bank
Walaupun kemungkinan semua peralatan telekomunikasi dan elektrik tidak akan dapat berfungsi seperti di dalam cerita Jepun Survival Family (2016) yang memerlukan kita bertahan hidup di dalam cara yang sangat berbeza dan out of the box, kita perlu memastikan sedaya upaya agar telefon bimbit dan power bank sentiasa dicaj penuh pada setiap masa agar kita boleh menggunakannya apabila kita perlu meminta pertolongan di dalam sebarang keadaan kecemasan.
4. Stok makanan dan minuman
Sentiasa berusaha pastikan pada setiap masa kita mempunyai barang-barang asas seperti beras, tepung, minyak, telur dan sardin serta barang-barang kering yang tahan lama seperti biskut, maggi dan makanan di dalam tin.
5. Barang keperluan asas
Paling kurang perlu ada berus gigi, ubat gigi, sabun dan tuala wanita pada setiap masa.
6. Ubat-ubatan
Buat masa sekarang, first aid kit harus ada di setiap rumah. Peti pertolongan cemas ini boleh ditambah dengan ubat-ubatan lain yang dirasakan perlu terutamanya bagi mereka yang sememangnya telah ditakdirkan bergantung kepada beberapa ubat untuk kelangsungan kesihatan dan hidupnya.
7. Wang tunai atau barang yang boleh digunakan untuk sistem pertukaran (barter system)
Di dalam keadaan bencana, kadang-kadang wang tunai tidak berguna kerana semua orang perlukan makanan atau barang untuk ditukarkan bagi bertahan hidup. Den memang sarankan semua tengok cerita Survival Family untuk memahami apa yang cuba den sampaikan.
Walau bagaimanapun, pada setiap masa kita perlu ada wang tunai untuk melancarkan beberapa urusan yang diperlukan pada masa-masa tertentu.
8. Peta hard copy
Kita harus mula menyimpan peta salinan keras (hard copy) kawasan berdekatan dan tandakan lokasi penting-penting terdekat, tempat yang bersesuaian untuk berlindung dan sebagainya. Peta ini penting sekiranya GPS tidak dapat berfungsi.
Bila bercerita tentang persediaan tentang menghadapi bencana tidak kira sama ada bencana alam, wabak penyakit menular dan sebagainya, sememangnya ianya bukan merupakan sesuatu yang menggembirakan tetapi ada perkara di dalam hidup walaupun bukan merupakan sesuatu yang menyejukkan hati tetapi juga kita perlu lakukan untuk kita bertahan hidup. Lebih baik kita sedaya upaya berusaha membuat persediaan semampu kita di dalam persediaan menghadapi sebarang perkara di luar jangka kita ye.
Bidasari Bahashim adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

