Reebok Floatride Energy Vs Saucony Kinvara 11

Opinion
27 Feb 2022 • 12:00 PM MYT
Muhammad Khairul
Muhammad Khairul

An avid runner who loves to write about running and everything

image is not available

Reebok dan Saucony dua jenama yang tidak asing lagi bagi para pelari. Dua jenama ini sering menjadi pilihan di samping jenama lain seperti Nike atau Adidas. Reebok terkenal dengan Forever Floatride Energy manakala Saucony terkenal dengan Kinvara. Kedua kasut ini boleh dikategorikan sebagai kasut pelatih harian ringan. Reebok menggunakan TPU sebagai bahan utama untuk menghasilkan midsole Floatride Foam. Midsole yang dikatakan bersifat seperti Adidas Boost tetapi lebih ringan. Saucony pula menggunakan PWRRUN iaitu campuran diantara TPU dan EVA sebagai bahan utama midsole mereka bagi menggantikan EVERUN. Jadi bagaimana prestasi kedua kasut ini apabila diletakkan di dalam satu gelanggang yang sama? Yang mana lebih baik antara dua kasut ini? Mari kita ketahui dengan lebih lanjut.

image is not available
Saucony Kinvara 11

image is not available
Reebok Flaotride Energy

Upper

Bagi bahagian upper, kedua kasut ini menggunakan engineered mesh sebagai bahan utama dengan logo jenama di bahagian medial dan lateral kasut bagi memberi sokongan dan memastikan upper kasut sentiasa dalam kedudukan asal dan menetapkan kaki pada kasut sepanjang masa semasa berlari. Mesh yang digunakan juga memberi pengudaraan yang baik dan sesuai digunakan untuk cuaca yang panas dan lembap. Perbezaan kedua kasut ini dapat dilihat dalam beberapa aspek. Pertama sekali, bahan mesh itu sendiri. Mesh yang digunakan oleh Reebok ternyata kasar dan kurang anjal. Jadi ini memberikan sensasi luas kepada pemakai. Hal ini berbeza dengan Saucony apabila mesh yang digunakan ternyata lebih lembut dan lebih anjal. Jadi sensasi snug fit itu lebih dapat dirasakan pada Kinvara.

Kedua perbezaan pada sistem tali serta tali kasut itu sendiri. Saucony menggunakan sistem band untuk sistem tali mereka. Saucony meletakkan band pada tiga lubang tali yang terakhir supaya apabila pemakai mengikat tali kasut bahagian midfoot akan memberikan lebih cengkaman kepada kaki dan mengelakkan perkara lain seperti heel slippage atau blister. Bagi Reebok pula mereka menggunakan sistem tali tradisional yang kebiasaannya terdapat pada kasut yang lain. Bagi tali kasut pula, Saucony menggunakan tali kasut yang biasa dengan ukuran yang normal dan saya mendapati tali kasut mudah diikat serta tidak tertanggal semasa berlari. Hal ini berbeza dengan Reebok kerana mereka juga menggunakan tali kasut yang biasa cuma tali kasut mereka kurang panjang serta tali kasut mereka sering dan mudah tertanggal ketika berlari.

Seterusnya, lidah kasut. Saucony menggunakan lidah kasut semi gusseted dan padding yang sederhana tebal manakala Reebok menggunakan lidah kasut yang biasa serta padding yang nipis. Sejujurnya, kedua-dua lidah kasut ini selesa cuma mungkin Reebok perlu menggunakan lidah kasut yang gusseted atau semi gusseted kerana ketika berlari, saya dapat merasakan pergerakan lidah kasut yang lari sedikit daripada kedudukan asal.

Bagi heel counter pula seperti biasa Saucony masih menggunakan pendekatan yang sama iaitu padding yang sederhana tebal serta heel counter yang agak fleksibel yang boleh anda tarik dan tolak ketika menyarung kasut. Bagi Reebok, mereka menggunakan pendekatan yang berlawanan iaitu padding yang nipis serta heel counter yang rigid.

Pilihan saya: Untuk bahagian upper saya lebih cenderung memilih Saucony. Pertama kerana bahan mesh yang Saucony gunakan lebih lembut dan anjal membuatkan saya lebih selesa. Kedua ukuran tali kasut yang tepat memudahkan saya untuk mengikat serta tidak tertanggal ketika berlari. Ketiga lidah kasut yang gusseted membuatkan kaki saya lebih kekal ketika berlari.

image is not available
Mesh Reebok Forever Floatride Energy

image is not available
Mesh Saucony Kinvara 11

Midsole

Untuk midsole, Reebok menggunakan misole mereka yang diperbuat daripada TPU iaitu Floatride Foam manakala Saucony juga menggunakan bahan yang sama iaitu TPU tetapi diadun dengan EVA untuk mencipta PWRRUN. Kedua-dua kasut memiliki jumlah drop dan juga stack height yang berbeza. Reebok menggunakan 10mm drop untuk Forever Floatride Energy dengan stack height 29mm/19mm manakala Saucony menggunakan 4mm drop untuk Kinvara dengan stack height 28mm/24mm. Jadi bagi sesiapa yang cenderung heel strike disarankan menggunakan Forever Floatride Energy kerana foam lebih banyak di bahagian tumit untuk menyerap hentakan dan bagi sesiapa yang midfoot atau forefoot strike disarankan menggunakan Kinvara 11 kerana drop yang rendah lebih sesuai dan efisien untuk mekanik larian anda.

Untuk pengalaman larian saya bagi kedua-kedua kasut ini jika saya boleh simpulkan dengan satu perkataan sahaja saya boleh katakan Forever Floatride Energy adalah kusyen manakala Kinvara adalah pantas. Apabila saya berlari dengan Forever Floatride Energy, sensasi yang saya paling ingat adalah midsolenya yang kusyen. Walaupun stack height pada bahagian depan kasut hanya 19mm tetapi bagi saya kusyen kasut ini sangat mencukupi untuk melindungi kaki dan menyerap hentakan ketika saya berlari di atas permukaan yang keras seperti tar jalan. Kaki saya tidak merasakan sebarang kesakitan atau lenguh ketika atau selepas berlari dengan kasut ini. Tambahan pula midsole kasut ini juga tidaklah terlalu kusyen sehingga anda merasakan anda macam berlari di atas bantal. Kasut ini responsif dan ada sifat lantunan yang terkawal yang membuatkan ia sesuai digunakan ketika anda mahu berlari pada kelajuan yang lebih pantas. Jadi pada saya kasut ini serba boleh di dalam apa jua larian yang ingin anda lakukan.

Saucony Kinvara 11 jika ada analogi yang saya boleh beri ketika berlari dengan kasut ini adalah umpama anda melontar bola tenis dan bola itu terus kembali pada anda. Itulah yang saya rasakan ketikan saya berlari dengan kasut ini. Kasut ini berlawan dengan Reebok Forever Floatride Energy. Midsole yang mereka gunakan iaitu PWRRUN lebih keras berbanding Floatride Foam. Jadi apabila saya berlari pada kelajuan yang perlahan, saya merasakan misole ini sangat kasar dan seolah mati. Jadi ini membuatkan kaki saya sakit dan berasa tidak selesa. Cuma apabila saya menggunakan kasut ini pada kelajuan yang lebih laju saya mula merasakan midsole ini bernyawa. Sensasi seperti bola tenis yang saya katakan tadi mula terasa dan membuatkan pusingan kaki sangat mudah untuk dilakukan. Sifat keras atau firm daripada midsole ini sangat membantu untuk meningkatkan kelajuan dalam larian. Kasut ini bagi saya tidak sesuai untuk recovery run tetapi untuk daily run yang pantas dan juga larian pantas seperti tempo kasut ini sangat ideal.

Dari segi kestabilan tiada beza diantara kedua-dua kasut ini. Bagi saya kedua-dua kasut ini sangat stabil dan bagi sesiapa yang over pronate atau under pronate anda tidak akan ada masalah berlari di dalam Reebok Forever Floatride Energy atau Saucony Kinvara 11.

Pilihan saya: Untuk bahagian midsole saya lebih cenderung memilih Reebok. Hal ini kerana bagi saya Forever Floatride Energy adalah kasut yang serba boleh. Sifat midsole yang seimbang dari segi kelembutan dan responsif membuatkan kasut ini ideal untuk sesiapa sahaja yang memerlukan hanya sepasang kasut untuk larian mereka.

image is not available
PWRRUN Midsole

image is not available
Floatride Midsole

Outsole

Pendekatan yang digunakan untuk kedua jenama bagi bahagian tapak atau outsole sangat berbeza. Reebok menggunakan pendekatan yang tradisional iaitu meletakkan getak pada keseluruhan bahagian midsole kasut. Hal ini mungkin untuk memanjangkan umur kasut bagi memastikan pengguna boleh menggunakan kasut untuk tempoh lebih lama. Bagi saya, getah yang digunakan sangat mencengkam di atas apa jua permukaan dalam apa jua keadaan.

Berbeza pula dengan Saucony mereka menggunakan EVA yang diukir sebagai tapak mereka dan juga meletakkan getah di beberapa tempat yang mudah haus seperti di bahagian depan dan bahagian tumit kasut. Seperti Reebok, disini saya juga tidak menghadapi sebarang masalah dengan cengkaman cuma saya sudah melihat tapak kasut haus di beberapa kawasan setelah beberapa kali digunakan. Bagi saya ketahanan untuk Kinvara 11 mungkin tidak sebaik Forever Floatride Energy.

Pilihan saya: Untuk bahagian outsole saya lebih cenderung memilih Reebok. Hal ini kerana satu sebab sahaja iaitu ketahanan. Bagi saya ketahanan adalah salah satu faktor penting dalam pemilhan kasut disebabkan kekangan bajet dan sebagainya. Jadi dalam hal ini berdasarkan pengalaman saya, saya berpendapat dengan adanya keseluruhan getah di seluruh outsole ketahanan Forever Floatride Energy lebih lama berbanding Kinvara 11.

image is not available
Ukiran EVA dengan getah di bahagian depan
dan tumit

image is not available
Keseluruhan Getah

Konklusi

Kedua kasut ini sangat bagus. Sepanjang penggunaan saya tiada kelemahan yang ketara dipamerkan oleh kedua-dua kasut, cuma apabila diberi pilihan untuk memilih salah satu saya akan memilih Reebok Forever Floatride Energy. Hal ini kerana kasut ini sangat serba boleh dalam apa jua tugasan larian yang dilemparkan kepada kasut ini. Namakan apa anda mahu kasut ini lakukan easy run, tempo run, recovery run semua kasut ini boleh lakukan. Kasut ini juga mempunyai daya ketahanan yang tinggi jadi anda boleh menggunakan kasut ini dengan lebih lama. Kasut ini sangat ideal bagi mereka yang mahukan hanya satu kasut atau mempunyai masalah kekangan bajet. Jadi saya memilih Reebok Forever Floatride Energy sebagai pemenang untuk edisi pertama running shoes battle.


Muhammad Khairul adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.