Tujuh warga Malaysia terkandas dibenar masuk Filipina

14 Feb 2022 • 6:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM – Seramai tujuh orang warganegara Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila sebelum ini telah dibenarkan untuk memasuki Filipina.

Wisma Putra menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, ia hasil tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Manila.

“Wisma Putra sukacita memaklumkan bahawa tujuh warga Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino telah dibenarkan memasuki Filipina berikutan tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Manila. Kudos team @myembasssymanila!,” katanya pada Isnin.

Seramai 15 pelancong Malaysia sebelum ini dilapor terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila selepas kumpulan itu tidak dibenarkan memasuki Filipina oleh pihak imigresen berikutan menerima vaksin di Malaysia.

Menurut portal The Star, seorang penumpang yang enggan identitinya didedahkan berkata, mereka dimaklumkan oleh pihak imigresen negara itu bahawa sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera tidak diterima sebagai bukti vaksinasi.

Oleh itu, pihak berkuasa Filipina tidak membenarkan kemasukan 15 penumpang yang tiba menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi Ahad.

Pasport mereka turut dirampas dan dimaklumkan akan dihantar pulang hari ini.