
KUALA LUMPUR - Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) memohon kerajaan menangguhkan cadangan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dalam tempoh dua tahun lagi.
Presidennya, Tan Sri Sufri Mhd Zin berkata, kenaikan tersebut tidak dapat diterima berdasarkan situasi semasa ekonomi negara yang masih belum pulih akibat pandemik COVID-19.
Menurutnya, kenaikan itu akan memberi kesan besar kepada operasi kontraktor kecil bagi kategori G1 hingga G4.
“Cadangan kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 itu bakal menyaksikan peningkatan 25 peratus sejak perubahan kadar itu dibuat pada tahun 2020, iaitu kenaikan tahunan sebanyak 12.5 peratus.
“Sejak pandemik melanda negara, kontraktor perlu menyerap segala kos tambahan akibat COVID-19 dan mematuhi Akta 446 berkaitan penyediaan tempat tinggal pekerja. Semua kos tambahan itu menyebabkan kontraktor menanggung beban besar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sufri berkata, kerajaan juga diminta mengkaji semula peningkatan tarif elektrik untuk pengguna komersial dan industri kerana kenaikan itu memberi kesan buruk kepada golongan kontraktor kecil.
“Seperti diumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai tarif elektrik baharu, ia menyaksikan kenaikan sebanyak 85 peratus daripada kadar sebelum ini.
“Tidak seharusnya mana-mana pihak mengambil kesempatan ke atas sektor perniagaan yang turut terkesan ketika ini. Kenaikan tarif ini hanya membebankan, terutama terhadap kelangsungan perniagaan kontraktor kecil,” katanya.
Mengulas lanjut, Sufri berkata, pihaknya faham mengenai kenaikan kadar gaji minimum dan tarif elektrik yang terpaksa dilaksanakan, namun kadarnya tidak harus membebankan pihak industri.
“Kami amat berharap kerajaan mengekalkan dahulu kadar gaji minimum sedia ada dan mengkaji semula kenaikan tarif elektrik untuk sektor industri serta komersial,” katanya. - Getaran, 11 Februari 2022

