KPDNHEP Dakwa Tak Terima Aduan Paracetamol Berkurangan

24 Feb 2022 • 12:55 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kecoh diperkatakan mengenai keluhan rakyat Malaysia untuk mencari paracetamol di mana-mana stokis kedai ubat dan farmasi di media sosial baru-baru ini.

Ia berikutan peningkatan kes baharu Covid-19 yang secara drastik sejak beberapa minggu ini sampaikan ada netizen buat perkongsian jenama alternatif yang boleh digunakan selain Panadol.

Berikutan dengan isu tersebut, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan tampil beri keterangan.

 

Ada macam-macam jenama lagi

image is not available

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman mengatakan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan paracetamol di negeri tersebut.

Katanya lagi, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas 213 premis mendapati bekalan paracetamol mencukupi dan mudah diperoleh, lapor Sinar Harian.

“Pemantauan dilakukan di farmasi, kedai ubat-ubatan dan kedai serbaneka membabitkan bekalan Self Test Kit Covid-19, topeng muka, cecair pembasmi kuman dan ubat-ubatan seperti paracetamol

“Kita tidak menolak kemungkinan ubat-ubatan asas seperti paracetamol juga mendapat permintaan tinggi di pasaran ketika ini berikutan penularan jangkitan Covid-19 menerusi varian Omicron,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

image is not available

Namun begitu, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat pembelian panik, hanya beli mengikut kuantiti yang diperlukan sahaja. Katanya lagi, terdapat pelbagai jenama bagi paracetamol di pasaran untuk kegunaan pengguna dan tidak seharusnya tertumpu kepada satu jenis sahaja.

“KPDNHEP Negeri Sembilan akan memantau perkara ini secara berterusan untuk memastikan tiada masalah terputus bekalan bagi ubatan ini di pasaran,” katanya.

 

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.