
KUALA LUMPUR - Pemberian dos penggalak harian COVID-19 di Malaysia ketika ini, mula menunjukkan peningkatan berbanding sebelumnya.
Namun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, data menunjukkan kurang 50 peratus dalam kalangan masyarakat Melayu mendapatkan dos penggalak itu.
Justeru, katanya, komunikasi lebih mantap perlu dilakukan, terutamanya menerusi Facebook bagi meyakinkan masyarakat itu supaya menerima suntikan tersebut.
Booster coverage heatmap Klang Valley & Johor. Tumpuan perlu diberi di kawasan2 liputan rendah esp untuk PRN Johor. #PICKBooster pic.twitter.com/bGrtiWlPWx
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) February 11, 2022
“Dos penggalak memberi perlindungan yang baik terutama ketika menghadapi gelombang Omicron. Sebanyak 80 peratus masyarakat Cina sudah menerima dos penggalak.
“Namun perlu komunikasi yang lebih mantap di Facebook sebab masyarakat Melayu bawah 50 peratus. Sarawak terbaik,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada kawasan liputan rendah dari segi pengambilan dos penggalak, terutama di Johor yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini.
Berdasarkan peta liputan vaksinasi dikongsikan beliau di Twitter, Johor secara keseluruhannya mencapai 57 peratus dalam pemberian dos penggalak.
Terdapat empat sahaja daerah yang menerima dos penggalak melebihi 50 peratus, iaitu Muar sebanyak 71 peratus, diikuti Johor Bahru (67 peratus), Kulai (56 peratus) dan Batu Pahat (52 peratus).
Manakala enam daerah merekodkan kadar liputan dos penggalak di bawah 50 peratus, iaitu Kluang 46 peratus, Kota Tinggi (42 peratus), Tangkak (40 peratus), Segamat (37 peratus), Pontian (35 peratus) dan Mersing (32 peratus).
Tambah Khairy, liputan dos penggalak di Lembah Klang secara keseluruhannya mencapai 67 peratus.
Pemberian dos penggalak harian mula meningkat semula. Dos penggalak memeberi perlindungan yang baik terutama dalam gelombang Omicron. 80% masyarakat Cina boosted. Namun perlu komunikasi yang lebih mantap di Facebook sebab Melayu < 50%. Sarawak terbaik. pic.twitter.com/vONFLhX59C
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) February 11, 2022
Daerah tertinggi yang sudah menerima dos penggalak adalah Petaling dengan 79 peratus, diikuti Kuala Lumpur (75 peratus), Putrajaya (70 peratus), Hulu Langat (61 peratus), manakala Gombak dan Klang masing-masing 59 peratus.
Sementara itu, Sepang dan Kuala Langat masing-masing merekodkan 54 peratus, Kuala Selangor (48 peratus), Sabak Bernam (40 peratus) dan Hulu Selangor (20 peratus).
Menerusi peta liputan dos penggalak itu juga, hanya dua negeri mencatatkan liputan melebihi 70 peratus, iaitu Sarawak sebanyak 76.8 peratus dan Melaka, 71.9 peratus. - Getaran, 11 Februari 2022

