Pemilik, Pengunjung Pusat Hiburan Dikompaun RM145,000

11 Feb 2022 • 5:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seramai 139 pengunjung dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 setiap seorang. - Gambar ihsan polis

KUALA LUMPUR - Pemilik dan pengunjung enam pusat hiburan di sekitar ibu negara, dikenakan kompaun bernilai RM145,000 selepas melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021, iaitu melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata,  kompaun bernilai RM1,000 itu masing-masing dikenakan kepada enam pemilik premis dan 139 pengunjung.

“Dalam serbuan bermula 4 Februari sehingga malam tadi, kompaun itu dikeluarkan kepada mereka disebabkan menjalankan operasi walaupun aktiviti tersebut masih tidak dibenarkan di bawah PPN Fasa 4.

“Kesemua enam pemilik premis dan 139 pengunjung dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 setiap seorang.

“Jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan adalah RM145,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azman berkata, sepanjang 1 Januari lalu hingga kini, JPJKK Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 280 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM280,000 terhadap pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Semua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Orang ramai dinasihatkan menjaga keselamatan diri dan mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 yang masih tinggi demi keselamatan umum.

“Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan pandemik COVID-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama,” katanya. - Getaran, 11 Februari