Ahmad Faizal harap skuad Harimau Malaya kembali digeruni

20 Feb 2022 • 12:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SKUAD Harimau Malaya yang kini mendapat sentuhan ketua jurulatih baharu, Kim Pan Gon, diharap mampu keluar dari kemerosotan prestasi untuk kembali menjadi antara pasukan yang digeruni.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau juga percaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mempertimbangkan semua pilihan yang ada sebelum membuat keputusan memilih jurulatih dari Korea Selatan itu.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu, tentunya pemilihan beliau telah dibuat dengan penuh teliti.

"Saya percaya jika kita semua bekerjasama menjalankan peranan masing-masing tentu kita mampu meningkatkan prestasi pasukan,” katanya ketika ditemui pada Program ‘Coffee Ride KL Car Free Morning’ di sini pada Ahad.

Beliau juga sangat berharap supaya pasukan negara akan mencapai tahap yang membanggakan dengan sokongan dari peminat bola sepak tanah air.

Pan Gon, yang juga bekas ketua jurulatih Hong Kong, dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatan bulan lepas sebagai mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan Malaysia di Kejuaraan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Singapura tahun lalu.

Dalam sidang akhbar pada Khamis lepas, Pan Gon berkata, beliau menyasarkan untuk menyediakan asas yang kukuh dan berazam membawa pasukan negara ke satu tahap lebih tinggi melebihi rantau Asia Tenggara.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, program yang bermula seawal 7 pagi Ahad, merupakan kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sebagai menyokong hasrat kerajaan untuk menjaga kelestarian alam sekitar.

"Kita mengadakan program beriadah, ada yang berbasikal dan berjoging, tetapi kita masih mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan, tidak lebih daripada 1,000 peserta yang mengambil bahagian pagi ini.

"Saya berharap kerjasama dengan KWP, juga dengan kementerian lain, akan dapat kita teruskan dari semasa ke semasa kerana kita dapat lihat kemeriahannya, sambil kita memberi kesedaran kepada orang ramai untuk kekal hidup cergas dan aktif," katanya. - Bernama