MB: Nilai pelaburan Kumpulan Perangsang Selangor naik enam kali ganda 

28 Feb 2022 • 7:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 28 FEB: Program Transformasi Perniagaan (BTP) membantu meningkatkan nilai pelaburan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) sebanyak enam kali ganda dalam tempoh enam tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata badan korporat berkenaan berjaya memperoleh lebih RM1.3 bilion nilai pelaburan pada 2021 berbanding RM200 juta pada 2016.

Justeru, ia menyumbang pembayaran dividen sekitar RM172 juta oleh KPS kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh terbabit.

“Semuanya adalah hasil pengurusan yang mantap, tadbir urus pelaburan yang berfokus dan pentadbiran korporat profesional, selain sokongan serta kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri,” kata Amirudin dalam teks ucapannya pada majlis pelancaran logo baharu KPS di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KPS Ahmad Fariz Hassan.

Amirudin berkata KPS juga sentiasa komited dalam menjana pembangunan ekonomi, alam sekitar dan sosial, sekali gus menjamin prestasi pulangan optimum kepada pelabur.

Pada masa sama, katanya, KPS turut mampu meraih pelbagai pencapaian ketika melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak 2016.

“Program anjurannya merangkumi aspek pendidikan, keusahawanan, komuniti dan alam sekitar, kesihatan serta keselamatan berjaya memberi manfaat kepada lebih 200,000 penerima dan majoritinya adalah rakyat Selangor,” katanya.

KPS diperbadankan 47 tahun lalu, iaitu pada 11 Ogos 1975. Logo baharu yang dilancarkan hari ini, mencerminkan budaya berprestasi tinggi, berjaya membentuk badan korporat yang progresif, dinamik dan berdaya saing.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved