
KUALA LUMPUR - Sebanyak 22 peratus kematian akibat kanser di negara ini berpunca daripada pengambilan produk tembakau atau aktiviti merokok.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), sejumlah 21 peratus daripada rakyat Malaysia menghisap rokok tradisional, manakala lima peratus menghisap rokok elektronik (e-cigarette), seperti vape.
“Berdasarkan Kajian Morbiliti dan Kesihatan Kebangsaan, Institut Kesihatan Awam (IKU), penggunaan tembakau boleh meningkatkan risiko kanser.
“Kanser terbabit adalah kanser hidung, buah pinggang, kotak suara, hati, paru-paru, perut, pankreas, mulut, usus besar dan ovari,” menurut kenyataan bertajuk Merokok & Risiko Kanser itu yang dimuatnaik di Facebook KKM, hari ini.
Menerusi perkongsian sama, KKM menasihatkan perokok supaya menghentikan tabiat itu demi meningkatkan kualiti kehidupan.
“Berhenti merokok boleh membawa perubahan besar kepada tahap kesihatan, meningkatkan jangka hayat dan kualiti hidup.
“Katakan tidak kepada merokok. Cegah sebelum terlambat,” katanya. – Getaran, 14 Februari 2022

