
KUALA LUMPUR - Rahsia seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dirogol teman lelakinya terbongkar selepas keluarga menyedari dia mengandung di luar nikah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari ibunya, menyebabkan remaja terbabit mengakui melakukan hubungan seks dengan teman lelaki yang berusia 15 tahun.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada pertengahan Disember tahun lalu di Pandan Indah, Ampang.
“Dalam perjumpaan itu, remaja lelaki terbabit didakwa merogol mangsa sebanyak dua kali
“Susulan daripada maklumat diberikan remaja berkenaan, polis melakukan tangkapan terhadap remaja lelaki terbabit yang juga pelajar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, tangkapan itu dilakukan semalam di sekitar kawasan Pandan Indah.
“Perintah reman sehingga Ahad ini terhadap suspek sudah diperoleh dari Mahkamah Majistret Ampang.
“Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya sambil memberitahu bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. - Getaran, 18 Februari 2022
