Syarikat Produksi Perlu Wujud Program Didik Pengguna Media Sosial Secara Berhemah

22 Feb 2022 • 8:33 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Datuk Zahidi (tiga kanan), Presiden Seniman, Zed Zaidi (dua, kanan) dan Wakil Rentak Sehati Sdn Bhd, Datuk Seri Paduka Wan Jamal (empat, kiri) pada Pelancaran Program Realiti ‘Jari Neraka’.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menggalakkan lebih banyak syarikat produksi swasta untuk bersama-sama mewujudkan program bagi mendidik orang ramai menggunakan media sosial secara berhemah.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kerjasama itu boleh dilakukan dengan agensi di bawah kementerian tersebut seperti CyberSecurity Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“KKMM akan sentiasa memberi sokongan dalam pewujudan program sebegini sebab media sosial ini kalau disalah guna akan menyebabkan negara menjadi kelam-kabut dengan penyebaran fitnah,” katanya ketika melancarkan program realiti ‘Jari Neraka’ terbitan syarikat Rentak Sehati Sdn Bhd.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi.

Pengurus Produksi Rentak Sehati Sdn Bhd, Ahmad Qusairy Faudzi pula berkata, 'Jari Neraka' merupakan program realiti yang bertujuan memberi didikan dan pengajaran kepada warganet mengenai penyalahgunaan media sosial.

“Waktu sekarang ini kecaman, fitnah dan spekulasi menjadi normal dalam kalangan kita. Nampak seperti tak ada-apa tetapi pihak yang terlibat boleh mendapat depresi dan tekanan sehingga boleh menyebabkan kematian, sebab itu kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya. 

Program itu akan disiarkan menerusi saluran YouTube syarikat berkenaan mulai semalam. - Bernama

Gambar: Zulaikha Zainuzman, Bernama