
Kota Kinabalu: Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Sabah (JKPWAS-Induk) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah diminta membincangkan bersama isu-isu tanpa dokumen pendatang tanpa izin (PTI) dan warga tempatan.
Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah, Kapitan Stephen Teo berkata setiap kali pengumuman pengeluaran dokumen warga asing, memperlihatkan seolah-olah keutamaan diberi kepada PTI dan mengabaikan isu sama dalam kalangan orang asal negara ini.
“Apabila dibincangkan tentang masalah warga asing tanpa dokumen, maka adalah baik dibincangkan juga tentang masalah warga tempatan tanpa dokumen,” kata Stephen.
Stephen yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menegaskan, agenda mesyuarat jawatankuasa tersebut perlu diubahsuai dengan memasukkan isu bersama dokumen PTI dan warga tempatan.
Manakala Ketua Penerangan STAR Jalumin Bayogoh yakin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selaku pengerusi bersama jawatankuasa tersebut dan juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah (JKKNS) mampu menyelaras isu tanpa dokumen warga asing dan tempatan.
Menurut Jalumin, banyak isu dokumentasi warga tempatan dan langkah-langkah pengawalan sempadan negara dapat diambil kira dalam agenda mesyuarat itu termasuk pengeluaran Kad Pengenalan Sabah (KP Sabah) dan pengujudan semula pasukan ‘Pengakap Sempadan’.
“Penghantaran semula rakyat asing ke negara asal dan penambahan kekuatan kawalan sempadan khususnya di daratan merupakan dua isu sejajar yang perlu diutamakan dalam pengambilan keputusan,” kata Jalumin.
Jalumin yang juga Timbalan Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD) yakin undang-undang sedia ada mencukupi untuk menguatkuasa kemasukan ke negara ini dengan pasport, menangkap pendatang haram, mendakwa ke mahkamah dan menghantar balik ke negara asal.
Keanggotaan dalam JKKNS juga lengkap untuk melaksanakan kehendak kerajaan yang melibatkan Esscom, Tentera, Polis, Imigresen, Pendaftaran, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan JKM serta Mjlis Keselamatan Negara, katanya.
Jalumin menambah, jawatankuasa peringkat kebangsaan dan negeri itu juga wajar membincangkan isu dokumen pengenalan meragukan dalam Laporan RCI bernombor H0288001 – H0384000 dan H0480001 – H0576000.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

