
KUALA LUMPUR - Rangkuman video klip beberapa kejadian yang memaparkan individu dipukul pihak didakwa ahli Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM) adalah video lama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, video berdurasi empat minit 59 saat itu tular melalui aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.
Katanya, penyebar video klip itu turut mendakwa pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kejadian terbabit.
“Semakan pihak polis mendapati, video tersebut mengandungi rangkuman beberapa kejadian jenayah yang dikenalpasti berlaku di sekitar Selangor dan Pulau Pinang pada tahun 2020.
“Paparan di video klip tersebut mengandungi kenyataan tidak benar terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana siasatan sudah dijalankan ke atas kejadian itu, malah pelakunya dihadapkan ke mahkamah (untuk dibicarakan),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Abdul Jalil berkata, perbuatan menularkan kandungan kenyataan sehingga menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam adalah satu kesalahan.
“Perkara itu boleh disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja melakukan kesalahan ini,” katanya. - Getaran, 9 Februari 2022


