Nurul Izzah, Anak Bongsu Positif COVID-19

10 Feb 2022 • 8:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nurul Izzah Anwar - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar hari ini mengesahkan dirinya dijangkiti COVID-19.

Menurut beliau, keputusan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) itu diperolehi empat hari selepas anak bongsunya, Raja Harith Raja Ahmad disahkan positif virus berkenaan.

“Saya hanya mengalami gejala ringan, dan sekarang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) bersama ahli keluarga.

“Terima keputusan antigen dan PCR yang mengesahkan saya positif COVID-19 tetapi kerana kami memang sedang menjalani kuarantin kendiri sejak 6 Februari, ia diteruskan dengan menjalani HSO dan melakukan yang terbaik untuk melindungi Safiyah,” katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.

Safiyah atau Raja Nur Safiyyah Raja Ahmad ialah anak sulung bekas Naib Presiden PKR itu yang masih negatif COVID-19 sehingga hari ini.

Menerusi hantaran berkenaan, Nurul Izzah turut meluahkan rasa syukur kerana mereka sekeluarga berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah kami baik-baik sahaja, dan hanya mengalami gejala ringan seperti lesu, selsema dan sedikit kesakitan di bahagian otot/sendi,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui, dijangkiti COVID-19 bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui.

“Ia mengingatkan memori ketika saya mengalami demam denggi, walaupun tidak begitu teruk untuk dibandingkan.

“Ternyata, amat penting untuk kita terus dilindungi menerusi vaksinasi. Syukur, kami semua sudah melengkapkan dos vaksinasi dan berharap supaya kita dapat diberikan tahap perlindungan yang sama, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga juga mengemaskini status harian menerusi MySejahtera termasuk video latihan pernafasan dan penggunaan oksimeter yang betul.

Selain itu, Nurul Izzah turut berkongsi info pengambilan multi vitamin yang mengandungi vitamin C dan D3 untuk meningkatkan sistem imunisasi badan selain memastikan mereka kekal terhidrat. - Getaran, 10 Februari 2022