
Kota Kinabalu: Parti Tindakan Demokratik Sabah (DAP Sabah) menggesa kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri Khas bagi memastikan kepentingan rakyat Sabah terpelihara dalam isu kontroversi membabitkan Perjanjian Pemuliharaan Alam (NCA).
Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe berkata susulan kenyataan terbaru Peguam Besar Negeri (AG) pada Rabu, perjanjian itu atau lebih dikenali sebagai perdagangan karbon tidak boleh dikuatkuasakan memandangan penilaian wajar masih dalam proses.
“Jika benar seperti yang dilaporkan AG pada Khamis, apa yang menjadi pertaruhan untuk Sabah kerana kita mungkin gagal untuk menguatkuasakan NCA yang telah dipersetujui antara pihak ketiga dan kerajaan negeri GRS?
“Bukankah ia tidak wajar dan luar biasa bagi kerajaan untuk membuat perjanjian berbilion-bilion tanpa mendapatkan nasihat daripada AG dan tanpa menjalankan penilaian wajar? Bolehkah seseorang daripada kabinet menjawab saya mengenai perkara ini?” katanya.
Phoong yang juga Adun Luyang berkata demikian dalam satu kenyataan di sini ketika mengulas Jabatan Peguam Besar Negeri (AGC) negeri dilaporkan pada Khamis dalam akhbar bahawa NCA yang ditandatangani tidak boleh dikuatkuasakan kerana penilaian wajar masih dijalankan ke atas pihak ketiga terlibat.
Peguam Besar Negeri Datuk Nor Asiah Mohd Yusof seperti yang dilaporkan berkata, beliau berpendapat perjanjian itu, walaupun ditandatangani pada Oktober, tidak dimuktamadkan dan tidak terikat kerana ia masih tidak mempunyai banyak butiran termasuk kawasan hutan yang dipersetujui.
“Begitu banyak persoalan kini timbul selepas kenyataan AG. Ia jelas seperti AG nyatakan bahawa kita mempunyai hak untuk kedaulatan karbon dan boleh membina kepakaran kita sendiri di bawah Jawatankuasa Perubahan Iklim Sabah.
“Kenapa kerajaan negeri GRS tidak mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebaliknya membuat perjanjian dengan pihak ketiga? Ini juga pernah dibangkitkan sebelum ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri,” kata Phoong.
Beliau berkata Peguam Besar Negeri juga telah menjelaskan bahawa NCA tidak terikat dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana banyak terma yang hilang daripada perjanjian itu, terutamanya kawasan yang ditetapkan yang belum ditentukan.
“Jadi, kenapa seluruh kabinet bersetuju untuk membenarkan Timbalan Ketua Menteri memeterai perjanjian itu sebelum terma dan syarat dimuktamadkan?
“Ini sangat mencurigakan, adakah seseorang mendapat apa-apa faedah daripada perjanjian ini atau kepentingan peribadi? Adakah kedaulatan tanah Sabah telah dijual? Saya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk campur tangan dan menyiasat kecelaruan ini,” kata Phoong.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

