Jalani Ujian Kendiri COVID-19 Sebelum Kunjungi Keluarga, Rakan

1 Feb 2022 • 12:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Orang ramai dinasihatkan supaya menjalani ujian kendiri COVID-19 terlebih dahulu sebelum mengunjungi keluarga dan rakan sempena Tahun Baharu Cina. - Gambar Azim Abd Rahman

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menasihatkan orang ramai untuk melakukan ujian saringan kendiri COVID-19 sebelum mengunjungi keluarga dan rakan, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi mengelakkan diri dijangkiti COVID-19 atau berlaku penularan virus terbabit, terutama dalam keadaan kes semakin meningkat sejak beberapa hari lalu.

Khairy turut meminta orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 ditetapkan kerajaan sepanjang melakukan aktiviti sempena perayaan itu.

“Seperti disaksikan sejak beberapa hari lalu, berlaku kenaikan kes COVID-19 di negara kita dengan bermulanya gelombang varian Omicron, namun dengan kadar vaksinasi tinggi dan pematuhan SOP, saya yakin kita semua dapat mengatasinya serta menyambut musim perayaan ini dengan lebih selamat.

“Laksanakan ujian kendiri sebelum mengunjungi kaum keluarga dan rakan serta sentiasa patuhi SOP semasa melakukan aktiviti ziarah anda.

“Semoga Tahun Harimau ini yang dikaitkan dengan sifat keberanian, berdaya saing, yakin dan bercita-cita tinggi dapat membawa kita semua keluar daripada pandemik dihadapi sekarang,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ucapan Tahun Baharu Cina di laman sosial sama, berkata orang ramai diminta tidak berkumpul beramai-ramai ketika meraikan perayaan berkenaan.

Katanya, walaupun situasi COVID-19 di negara ini semakin pulih dan stabil, orang ramai perlu sentiasa mematuhi SOP, khususnya penjarakan fizikal.

“COVID-19 terus mengekang kita daripada berkumpul dalam jumlah ramai ketika Tahun Baharu Cina ini.

“Justeru, kepada mereka yang meraikannya bersama keluarga, lakukan ujian kendiri dan lindungi ahli keluarga anda, terutama berisiko, itu paling penting,” katanya. – Getaran, 1 Februari 2022
 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved