
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung anti lompat parti dan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun akan dibentangkan di Parlimen selepas pendapat dan input diperoleh daripada semua pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia juga akan dilaksanakan sebaik sesi libat urus dilakukan pihak berkenaan selesai.
Katanya, sekiranya Jemaah Menteri meluluskan, RUU tersebut akan dibentangkan semasa Sidang Khas Parlimen selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebaik Perdana Menteri bersetuju menggunakan kuasanya di bawah Peraturan tersebut.
“Kabinet memutuskan bahawa RUU ini masih memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain, khususnya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan pindaan ini mendapat sokongan mereka di Dewan Rakyat.
“Di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Wan Junaidi memaklumkan, beliau sudah mengemukakan surat kepada semua pemimpin parti dan borang soal selidik untuk dijawab mereka bersama draf RUU bagi mendapatkan pandangan serta input selanjutnya.
“Inisiatif ini adalah kesinambungan daripada keseluruhan sembilan sesi libat urus yang saya sudah adakan bersama pelbagai pihak, seperti ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan parti komponen, termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri serta Jabatan Peguam Negara.
“Saya juga ingin menjelaskan bahawa sesi libat urus bersama BN dan PN yang dijadualkan pada 26 serta 28 Februari 2022 sudah ditangguhkan atas permintaan parti untuk memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa komited dan akan meneruskan usaha merealisasikan penggubalan RUU itu.
“Ini adalah demi memastikan kestabilan politik negara berada pada tahap terbaik,” katanya.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan bukan tidak mahu melaksanakan RUU itu, sebaliknya menangguhkan sedikit masa bagi memperbaiki beberapa draf berkaitan.
“Saya percaya bila dah (sudah) diperbaiki draf itu, undang-undang tersebut akan pergi ke Parlimen untuk dibahas dan dipersetujui.
“Terlalu ‘pramatang’ untuk kita kata mengenai memorandum persefahaman (MOU). Biar kita (kerajaan) selesaikan dulu perjanjian kita dan perkara sudah kita persetujui dalam MOU asal,” katanya pada sidang media di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini. – Getaran, 18 Mac 2022
