
BUKANLAH satu perjalanan yang mudah buat juara dunia boling 2018 Muhammad Rafiq Ismail, sebelum beliau memenangi gelaran Kejohanan Boling Kebangsaan 2022 buat kali ketiga.
Malah Muhammad Rafiq berkata, beliau dan keluarganya telah melalui masa sukar selepas bapa kesayangannya jatuh sakit sejak Januari lepas.
"Memang ini kali pertama ayah tiada di sini, selalunya ayah ada tengok ‘live’ tapi hari ini emak seorang saja.
"Ayah ketika ini sedang jalani rawatan dialisis buah pinggang di hospital, rasa lain ayah tiada di sini, tetapi saya mahu dedikasikan kemenangan ini untuk beliau,” katanya kepada pemberita selepas memenangi gelaran itu pada Sabtu.
Muhammad Rafiq, yang mewakili Skuad Podium Kongress Tenpin Boling Malaysia (MTBC) mengesahkan kedudukannya sebagai pemain terbaik negara, dengan prestasi terbaiknya daripada balingan pertamanya di kejohanan ini, sehinggalah memenangi gelarannya yang ketiga selepas edisi 2015 dan 2018.
Pemain berusia 24 tahun bermain dengan cemerlang pada ‘step-ladder’ terbuka masters lelaki yang berlangsung di Sunway Mega Lanes di sini, dengan 214 jatuhan pin dan lebih 12 pin terhadap pencabarnya Muhd Hariz Adlan Azman dari Pulau Pinang.
Selain daripada menjaga ayahnya, Muhammad Rafiq yang baru pulih daripada Covid-19 mengakui virus itu telah menganggu persediaannya, tetapi beliau gembira untuk pulang dengan gelaran lelaki terbuka hari ini.
"Pada awalnya persiapan agak kelam kabut namun ia menguatkan saya untuk meraih kejayaan dan terbukti kesemua ini ada hikmahnya,” katanya.
Sementara itu bekas pemain boling negara, Sharon Koh memenangi gelarannya kelimanya yang menyamai rekod bekas ratu boling negara Shalin Zulkifli, yang memegang gelaran pemenang kategori wanita terbanyak kejohanan itu.
Pemain profesional yang mewakili Putrajaya itu, melakukan 236 jatuhan pin bagi mengalahkan pemain boling negara Sin Li Jane, dengan 33 pin.
Sharon yang menjuarai gelaran wanita kebangsaan pada 2005, 2008, 2015 dan 2018 itu berkata, kejayaannya tentunya menaikkan semangatnya lagi, untuk mempertahankan gelaran itu tahun hadapan dan sekali gus memecahkan rekod sebagai pemenang paling banyak gelaran itu.
Walaupun tewas pada perlawanan akhir hari ini, Li Jane yang bermain untuk Skuad Podium MTBC masih lagi berpuashati dengan prestasinya hari ini, selepas tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan untuk dua setengah tahun disebabkan pandemik, dengan kejohanan terakhirnya di Sukan SEA Manila di Filipina. - Bernama

