Mengamuk Di Balai Polis, Lelaki Bersenjata Parang Ditahan

16 Mar 2022 • 8:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lelaki yang mengamuk menggunakan parang dihadapan balai polis berjaya ditahan pihak polis.

BEAUFORT - Polis menahan seorang lelaki tempatan yang mengamuk dan mengugut anggota polis menggunakan parang di hadapan Balai Polis Kuala Penyu, tengah malam, semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan (DSP) Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek yang berusia 48 tahun datang ke balai polis berkenaan sekitar jam 12 tengah malam sambil membawa parang.

Katanya, kejadian berkenaan disedari anggota polis bertugas yang kemudiannya bertanyakan tujuan suspek datang ke balai.

“Suspek memberitahu mahu menetak anggota terbabit sambil mengangkat sebilah parang panjang.

“Anggota kemudiannya masuk ke kaunter aduan balai polis dan mengunci pintu namun suspek sekali lagi menjerit  mahu membunuh anggota polis bertugas,” katanya.

Menurut Yusoff, suspek berjaya ditahan selepas pihak polis menerima maklumat dan menghantar bantuan.

“Suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol berjaya ditahan dan parang yang dibawanya juga turut dirampas.

“Ujian air kencing akan dijalankan ke atas suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” tambahnya. - Getaran, 16 Mac 2022