Tular Video Pavilion Terbakar, Rupanya Berpunca Dari Tempat Panggang Itik?

30 Mar 2022 • 5:33 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Tular di media sosial sebentar tadi video menunjukkan kepulan asap keluar dari pusat beli belah terkemuka di Kuala Lumpur, Pavilion.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pavilion Kuala Lumpur, insiden kecil terbabit berlaku sekitar jam 2.10 petang dan difahamkan terjadi di salah sebuah restoran yang terletak di aras 1 pusat beli belah berkenaan.

Menerusi kenyataan di Twitter tersebut, kebakaran kecil tersebut berjaya dipadamkan dan insiden tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Dalam masa yang sama, MalayMail melaporkan insiden kebakaran tersebut difahamkan bermula dari dapur memangang itik di salah sebuah restoran terkemuka pusat beli belah berkenaan.

Dua jentera Bomba dengan 11 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.12 petang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Bomba, api berkenaan padam dengan sendiri selain 5 penyembur api kecemasan telah rosak dalam kejadian tersebut.

Tambah jabatan berkenaan lagi, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam insiden terbabit. Tampil menjelaskan video dan gambar kepulan asap yang tular di media sosial, pihak Bomba menjelaskan ia adalah kerana asap berkenaan keluar dari corong asap yang berada di restoran berkenaan.

Sementara itu, pihak Pavilion Kuala Lumpur dalam kenyataan yang sama memberi jaminan bahawa mereka mengambil semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan untuk memastikan keselamatan pelanggan.

Difahamkan, pusat beli belah berkenaan masih beroperasi seperti biasa.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.