Muat turun iOS 15.4 sekarang, boleh imbas Face ID tanpa buka pelitup muka

Digital
15 Mar 2022 • 6:30 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Apple hari ini telah mengeluarkan kemaskini terbaru, iOS 15.4 untuk iPhone yang serasi. Beberapa ciri baru telah ditambah dalam kemaskini ini dan salah satu darinya adalah keupayaan mengimbas wajah menggunakan Face ID, tanpa perlu membuka pelitup muka atau memakai Apple Watch.

Kemaskini iOS 15.4 boleh dipasang ke iPhone 6s dan ke atas mulai sekarang. Jika anda belum menerima notis kemaskini, ia boleh dibuat secara manual dengan pergi ke bahagian Settings > General > Software Update. Saiz fail sekitar 1GB, bergantung kepada model iPhone dan versi iOS sedia ada.

image is not available

Seperti yang dimaklumkan tadi, iOS 15.4 membenarkan penggunaan Face ID mengecam wajah tanpa membuka pelitup muka, serta tanpa menggunakan Apple Watch. Tetapi ia terhad kepada model iPhone 12 dan ke atas sahaja, tidak untuk iPhone X, iPhone Xs, dan iPhone 11. Selain membuka kunci skrin, ia juga boleh digunakan untuk membuat pengesahan bayaran Apple Pay atau untuk mengisi kata laluan secara automatik di aplikasi dan pelayar Safari.

Selain itu, iOS 15.4 turut membawakan emoji serba baharu termasuk muka, gerak tangan dan barangan di rumah. Terdapat juga sedikit perubahan untuk emoji bersalaman, iaitu boleh pilih warna kulit.

Di dalam log perubahan juga menyatakan, fungsi FaceTime SharePlay kini boleh diaktifkan terus di dalam aplikasi yang menyokongnya. Siri pula dinaik taraf dengan kemampuan memberitau masa dan tarikh, walaupun telefon tiada talian internet. Tetapi ia untuk model iPhone XS, XR, iPhone 11 dan ke atas sahaja.

Beberapa pepijat dan kerentanan kecil turut ditampal di dalam iOS 15.4, antaranya masalah papan kekunci memasukkan titik noktah semasa menaip nombor, dan isu gambar dan video tidak diselaraskan ke iCloud Photo.