Kanak-kanak 5 tahun lemas, kereta dipandu ibu terbabas dalam tali air

17 Mar 2022 • 11:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

POH, 17 MAC: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemukan lemas akibat terperangkap di dalam kereta, selepas kenderaan yang dinaikinya itu terbabas ke dalam tali air di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap dekat Kampung Gajah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, mangsa Muhamad Harith Sulayman Mohd Hanis disahkan meninggal dunia, manakala ibunya, 30, serta adik perempuannya, 4, tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda City yang dipandu ibunya dalam perjalanan dari Malim Nawar ke Ulu Dedap, telah hilang kawalan akibat terlanggar air bertakung, lalu terbabas ke kanan jalan dan masuk ke tali air,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Barudin berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya berjaya menemukan mangsa pada pukul 8.12 malam tadi.

“Setibanya jentera di lokasi kami mendapati sebuah kereta dinaiki tiga mangsa tersebut terbabas ke dalam tali air berkedalaman 3.65 meter. Bagaimanapun ibu dan adik perempuannya (Muhamad Harith Sulayman) telah diselamatkan oleh orang awam terlebih dahulu,” katanya.

— BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved