Kereta Terbabas Dalam Terusan, Kanak-Kanak 5 Tahun Lemas

18 Mar 2022 • 8:38 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa selepas kereta yang dinaiki bersama ibu dan adiknya terbabas ke dalam terusan di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap dekat Kampung Gajah. Mayatnya ditemukan malam tadi. - Gambar dari Facebook Sale Hudin

IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemukan lemas akibat terperangkap di dalam kereta, selepas kenderaan yang dinaikinya itu terbabas ke dalam terusan air di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap dekat Kampung Gajah. 

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Suptritendan Barudin Wariso berkata dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, mangsa Muhamad Harith Sulayman Mohd Hanis disahkan meninggal dunia, manakala ibunya, 30, serta adik perempuannya, 4, tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda City yang dipandu ibunya dalam perjalanan dari Malim Nawar ke Ulu Dedap, telah hilang kawalan akibat terlanggar air bertakung, lalu terbabas ke kanan jalan dan masuk ke terusan air," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Barudin berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya berjaya menemukan mangsa pada pukul 8.12 malam tadi.

"Setibanya jentera di lokasi kami mendapati sebuah kereta dinaiki tiga mangsa tersebut terbabas ke dalam tali air berkedalaman 3.65 meter. Bagaimanapun ibu dan adik perempuannya (Muhamad Harith Sulayman) telah diselamatkan oleh orang awam terlebih dahulu," katanya. - Bernama