
Kota Kinabalu: Tiga lelaki dipenjara dan dikenakan sebatan rotan kerana mengambil dadah berulang kali.
Mereka adalah Al Shofri Sulaiman, Hazriduan Azrien dan Mohammad Fazreen Ab Samat Zaiman.
Kesemua mereka mengaku bersalah secara berasingan terhadap pertuduhan dikenakan ke atas mereka.
Al Shofri dipenjara lima tahun tiga bulan serta diperintah dikenakan sekali sebatan rotan, manakala Hazriduan dan Mohamad masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima tahun serta sekali sebatan rotan.
Mereka ditahan secara berasingan antara 27 Ogos, 2019 dan 22 Januari tahun ini selepas air kencing mereka didapati positif dadah di balai polis.
Mereka mempunyai beberapa sabitan lampau kerana mengambil dadah.
Kesalahan di bawah Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selepas menjalani hukuman penjara, Al Shofri dan Hazriduan diperintah diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun manakala Mohamad dua tahun.
Trio itu diperintah menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap.
Sementara itu, empat orang, masing-masing, dipenjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Didi Asil, Sabar Abdullah, Almisal Arafat dan Ejin Juhud mengaku memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen.
Mereka ditahan di kawasan bandaraya selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis pada 7 Februari tahun ini.
Mahkamah memerintahkan pendatang tanpa izin itu menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk diusir pulang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
