
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 29 tahun yang memiliki nama unik, dipenjara lima tahun dan diperintah dikenakan sekali sebatan kerana mengambil syabu berulang kali.
Mohd Happy Kasehan mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, atas pertuduhan ke atasnya.
Happy didapati mengambil dadah pukul 7.10 pagi pada 22 Januari tahun ini di balai polis di sini selepas didapati positif dadah.
Dia mempunyai dua sabitan lampau.
Perbuatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 39C (1) Akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan tujuh tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Happy menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
Semasa mitigasi, Happy yang tidak diwakili merayu hukuman ringan dan agar hukuman itu dijalankan bermula dari tarikh dia ditahaN.
Happy memaklumkan mahkamah dia masih bujang dan sebelum ditahan, dia bekerja sendiri dengan membuat perabot.
Tetapi, Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi amaran bukan sahaja kepada Happy tetapi juga kepada orang awam.
Beliau menghujahkan Happy adalah seorang pesalah lazim dengan sabitan lampau kerana mengambil dadah. – Cynthia D Baga
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
