Perakuan Sirim: Syarikat, pengarah didenda RM6,000

30 Mar 2022 • 1:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sebuah syarikat dan pengarahnya didenda sejumlah RM6,000 kerana menjual mikrofon wayarles dan penghantar audio video yang tidak diperakui oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu kepada East-Con Trading Sdn Bhd dan Pengarahnya Chai Gua Fang selepas Chai yang mewakili syarikat itu mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadap mereka.

Syarikat dan Chai masing-masing mempunyai dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama terhadap syarikat itu dan Chai, mahkamah memerintah masing-masing membayar RM1,500 atau penjara tiga bulan kerana menjual mikrofon wayarles bernilai RM238 tanpa sijil Sirim kepada Bonaventure Abie @ Hamzah.

Kesalahan itu berlaku pada pukul 4.30 petang 11 Mac 2020 di premis syarikat di Kompleks Karamunsing, di sini.

Bagi pertuduhan kedua terhadap syarikat itu dan Chai, mahkamah mendenda masing-masing RM1,500 atau penjara tiga bulan kerana menjual penghantar audio video bernilai RM1,790 tanpa sijil Sirim kepada Herric Evans Gabu, pada pukul 5.05 petang 23 Jun 2020 di tempat sama.

Kesalahan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 itu boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya.

Syarikat itu dan Chia membayar jumlah denda RM6,000.

Semasa rayuan, peguam Ryan So yang mewakili syarikat dan Chai, memohon denda paling rendah dikenakan dengan mengatakan bahawa tiada bahaya berlaku dan barang-barang itu bernilai rendah dan keuntungan adalah minimum.

Tambahnya, semua keraguan dan kesalahan telah diperbetulkan kerana sijil pematuhan telah diperolehi yang menunjukkan anak guamnya sudah insaf.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Nazrul Nizam dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas alasan adalah penting untuk semua peralatan diperakui Sirim bagi memastikan keselamatan peralatan itu kepada pengguna.

Nazrul juga berhujah bahawa perakuan itu juga bagi memastikan penggunaan peralatan komunikasi tersebut tidak mengganggu komunikasi penting seperti komunikasi kecemasan dan keselamatan.

Mahkamah diberitahu bahawa pegawai dari Sirim telah menjalankan operasi untuk memeriksa penjualan peralatan komunikasi yang tidak diperakui oleh Sirim berikutan aduan.

Setelah memeriksa peralatan tersebut, pegawai mendapati peralatan itu tidak diperakui oleh Sirim.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.