Sentimen Kenegerian Punca WARISAN Tewas Di Johor

Politics
15 Mar 2022 • 8:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Calon WARISAN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Mohamed Ridza Busu (dua dari kanan), ketika berkempen pada PRN Johor lalu. - Gambar Azim Abd Rahman

KOTA KINABALU - Sentimen kenegerian dimainkan parti lawan menjadi antara punca utama kekalahan Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

Justeru, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan bahawa parti itu tewas kerana ditolak sepenuhnya rakyat di negeri selatan Semenanjung berkenaan.

“Kekalahan WARISAN berbeza dengan parti lain yang berpunca daripada masalah sentimen terhadap pucuk pimpinan.

“Sebaliknya, parti lawan seperti DAP dan Barisan Nasional (BN) mewujudkan sentimen kenegerian terhadap WARISAN,” katanya  pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, DAP dan BN mendakwa WARISAN tidak seharusnya berada di Semenanjung.

“Mereka (DAP dan BN) boleh masuk bertanding (kerusi Dewan Undangan Negeri) di Sabah, justeru mengapa tidak parti dari Sabah bertanding di Semenanjung?

“Secara keseluruhan, WARISAN memperoleh lebih 6,000 undi pada PRN Johor walaupun hanya kurang sebulan dilancarkan di sana,” katanya.

Menurut Mohd Shafie, sememangnya beliau menyedari bukan mudah bagi parti baharu seperti WARISAN bertapak di Johor, apatah dalam situasi ketiadaan cawangan dan bahagian di negeri berkenaan.

“Malah parti seperti PAS, DAP dan Pakatan Harapan (PH) juga berdepan kesukaran sama di peringkat negeri walaupun sudah lama bertapak.

“Keputusan PRN Johor adalah peringkat awal percubaan WARISAN mempersiapkan diri dalam merangka strategi di negeri lain,” katanya.

WARISAN, tegasnya, kekal dengan konsep kesatuan Malaysia yang menyaksikan perjuangan bukan berdasarkan pengasingan agama dan budaya seperti parti lain. - Getaran, 15 Mac 2022