
SHAH ALAM - Malaysia dan Mesir akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi tujuan mempertingkatkan lagi hubungan serta kerjasama dalam pelbagai bidang di antara kedua-dua negara itu.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, pertemuan antara Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Luar Negeri Mesir, Sameh Hassan Shoukry akan diadakan pada 14 hingga 16 Mac ini di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pada perjumpaan itu menteri akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Semasa lawatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan menerima kunjungan hormat Sameh Hassan pada 14 Mac. Sameh Hassan akan menyampaikan jemputan daripada Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah Al Sisi.
"Jemputan itu untuk Perdana Menteri menghadiri Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27 - UNFCCC) yang akan diadakan di Sharm El Sheikh pada November 2022,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Selain itu, Sameh Hassan juga dijadual mengadakan pertemuan bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Man Tuan Ibrahim.
Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan akan meneruskan momentum pengukuhan hubungan dua hala teguh yang sedia terjalin dan mencerminkan keazaman kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi kerjasama ke tahap yang lebih tinggi.
Tambah kenyataan itu, lawatan tersebut juga akan memberi peluang kepada Sameh Hassan untuk berkongsi visi dan objektif Mesir sebagai Presiden COP27.
“Mesir merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Afrika utara. Pada tahun 2021, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Mesir bernilai RM3.8 bilion (AS$904.1 juta), iaitu peningkatan ketara sebanyak 84.5 peratus, berbanding nilai yang direkodkan pada tahun 2020,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, lawatan tersebut akan dilaksanakan dengan pematuhan penuh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

