Pecah Dinding Rumah Elak Api Merebak, Lelaki Nekad Selamatkan 5 Kediaman 

18 Mar 2022 • 8:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lebih 700 kediaman musnah dalam kebakaran di penempatan setinggan Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Jalan Apas, Tawau, semalam.

TAWAU - Tindakan seorang lelaki yang nekad memecahkan dinding rumahnya berjaya menyelamatkan lebih lima kediaman lain dalam kebakaran besar di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.

Albani Dauralis, 52, berkata, ketika itu bahagian anjung rumahnya sudah mula dijilat api dalam kejadian jam 4 petang itu.

"Saya nekad masuk ke dalam rumah untuk memecahkan dinding bagi mengelak api merebak ke seluruh rumah dan seterusnya membakar pula kediaman jiran yang lain.

"Beberapa rakan turut meluru masuk ke dalam rumah bagi memecahkan dinding dan alhamdulillah api berjaya dikawal," katanya.

Menurut Albani, dia reda separuh dinding rumahnya pecah asalkan dapat menyelamatkan lebih lima buah rumah lain yang terletak berhampiran.

image is not available
Albani menunjukkan bahagian rumahnya yang terpaksa dipecahkan bagi mengelak api terus merebak ke rumah lain.

Abdullah Ahmad Naning, 54, dan isteri pula terpaksa terjun ke laut berikutan api marak terlalu besar.

image is not available
Abdullah Ahmad Naning

"Selepas melihat beberapa rumah terbakar berhampiran titi kayu, kami berdua terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.

"Mujur ada penduduk dari Batu Tiga datang ke sini menggunakan perahu sebelum menyelamatkan kami bersama beberapa penduduk yang lain," katanya.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di bahagian bawah rumah di Blok G, Jambatan Tiga Kampung Kurnia Jaya.

Menurut sumber, ada penduduk ternampak percikan api pada kabel yang dipercayai sambungan elektrik secara haram dari rumah berkenaan, sehingga mencetuskan kebakaran besar.

Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau Penguasa Kanan Bomba II Sukur Hatta mengesahkan, seorang pegawai bomba terpaksa dikejarkan ke Hospital Besar Tawau akibat terjatuh selepas titi kayu yang dinaikinya patah ketika melakukan kerja pemadaman.

"Bagaimanapun, pegawai berkenaan hanya mengalami cedera ringan dan dilaporkan stabil.

"Selain faktor angin yang kuat, pihak bomba turut berdepan kesukaran memadamkan api kerana masih terdapat bekalan elektrik ketika kejadian," katanya.

image is not available
Kanak-kanak ini mencari barang-barang yang mungkin masih boleh diselamatkan selepas lebih 700 kediaman musnah dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, semalam.

image is not available
Keadaan salah sebuah rumah yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, semalam.

image is not available
Penduduk yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan bantuan disalurkan.

Menurut Sukur, pihaknya segera menghubungi Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) untuk memutuskan bekalan elektrik terlebih dahulu sebelum kerja pemadaman api dilakukan bagi mengelakkan renjatan elektrik berlaku.

"Pihak kami mengambil masa lebih tiga jam untuk mengawal keadaan.

"Sehingga kini, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Semalam, Getaran melaporkan lebih 700 kediaman musnah dalam kebakaran di penempatan setinggan Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Jalan Apas. - Getaran, 18 Mac 2022