Kes Baharu, Jumlah Kematian Akibat COVID-19 Meningkat

12 Mar 2022 • 10:21 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebanyak 76 kematian dilaporkan semalam akibat COVID-19 dengan 21 adalah kes BID manakala kematian tertinggi dilaporkan di Kedah. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Jumlah kematian baharu akibat COVID-19 kembali meningkat semalam dengan 76 kes selepas mencatatkan penurunan bagi tiga hari sebelumnya.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, 21 daripada kes baharu itu adalah kematian di luar hospital (BID).

Angka itu menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 adalah 33,643 kes, termasuk 6,995 kes BID.

Kematian tertinggi dilaporkan di Kedah dengan 15 kes, diikuti Selangor (14), Perak (10), Johor (8) manakala Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing merekodkan lima kes serta Kuala Lumpur (4).

Perlis dan Pulau Pinang pula mencatatkan tiga kematian di setiap negeri, masing-masing dua di Kelantan, Melaka, Pahang serta Sarawak manakala Terengganu (1). 

Laman sesawang sama memaklumkan, sebanyak 322,700 kes aktif dilaporkan dengan 310,351 atau 96.2 peratus menjalani kuarantin di rumah.

Individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula mencatatkan 3,111 atau 1.0 peratus orang.

Seramai 8,858 atau 2.7 peratus pesakit menjalani rawatan di hospital, manakala 380 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 231 atau 0.1 peratus memerlukan bantuan alat pernafasan.

Kes sembuh dilaporkan semalam adalah 24,444, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih daripada virus itu mencecah 3,418,443 orang.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) pula menunjukkan, kes baharu COVID-19 merekodkan peningkatan bagi dua hari berturut-turut dengan 32,800 kes semalam, berbanding 30,787 kes kelmarin dan 30,246 kes Rabu.

Jumlah kes baharu itu membabitkan 32,259 kes penularan tempatan dan 541 kes import.

Statistik berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus terbabit adalah 3,774,786 kes setakat ini. – Getaran, 12 Mac 2022