
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) kekal dengan keputusan untuk menutup kesemua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bermula 16 Mac ini.
Tarikh akhir PPV Mega itu beroperasi adalah sehari sebelumnya.
Menerusi pengumuman dibuat JKJAV, ia melibatkan PPV Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam; PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur; PPV Axiata Arena, Bukit Jalil dan PPV Sokka Gakai, Klang.
Bagaimanapun, JKJAV memaklumkan, sehingga tarikh itu, perkhidmatan pemberian vaksinasi secara ‘walk-in’ akan kekal beroperasi untuk menawarkan dos suntikan imunisasi COVID-19.
“Dapatkan dos penggalak dan vaksin anak anda,” katanya menerusi Twitter @JKJAVMY yang turut dikongsi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di media sosial sama.
Khairy pula dilaporkan berkata, keputusan menutup PPV Mega itu kerana penyewaan lokasi berkenaan membabitkan kos tinggi.
Jelasnya, penyewaan lokasi PPV Mega itu didapati tidak lagi ‘cost-effective’ kerana membabitkan dewan persidangan besar.
Beliau berkata, tidak ada keperluan untuk menyewa dewan persidangan itu yang memperuntukkan bayaran tertentu.
Justeru, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk menyediakan pusat vaksin lebih kecil, seperti di klinik swasta dan klinik kesihatan.
Langkah itu juga, jelasnya, bersesuaian dengan jumlah kehadiran penerima vaksin yang sudah tidak ramai kini, berkemungkinan besar kerana majoriti penduduk sudah menerima imunisasi COVID-19. – Getaran, 11 Mac 2022

