Kadar pengangguran di Sabah meningkat

24 Mar 2022 • 3:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kadar pengangguran di Sabah meningkat dari lapan peratus pada 2020 kepada sembilan peratus pada tahun lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu pada Rabu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Yakub Khan berkata kadar itu adalah tinggi dan amat membimbangkan berbanding 5.8 peratus direkodkan pada 2019, dan kementeriannya dengan kerjasama pelbagai pihak sedang giat berusaha untuk melaksanakan program ke arah mengurangkan kadar pengangguran.

“Melalui portal MyFutureJobs, sejumlah 110,038 pencari kerja aktif dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah mendaftar dalam portal ini. Setakat 22 Mac 2022, jumlah kekosongan jawatan ditawarkan melalui portal ini adalah sebanyak 43,229.

Penempatan pekerjaan daripada 2021 hingga Februari 2022 adalah 8,684 berdasarkan Laporan Pengoperasian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bagi kementeriannya di sini pada Rabu.

Yakub berkata bantuan mencari kerja untuk orang kurang upaya (OKU) turut dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), selain terdapat dua siri program karnival kerjaya OKU diadakan Perkeso melibatkan kumpulan OKU pendengaran dan OKU pelbagai masing-masing pada tahun lepas.

“Seramai 16 orang OKU mendapat penempatan pekerjaan dalam karnival itu. Pada tahun ini, program itu akan diadakan pada Mei bagi memenuhi keperluan golongan OKU di Sabah,” katanya sambil menambah 6,977 orang mendapat pekerjaan melalui program karnival kerjaya hasil kerjasama JPSM dan Perkeso.

Dalam pada itu, Yakub berkata, seramai 2,500 belia Sabah dijangka mendapat peluang pekerjaan dalam “Career Gig-SMJ” yang akan diadakan pada 29 Mac ini.

“JPSM melaksanakan 105 Program Latihan Kemahiran setahun dalam pelbagai bidang kemahiran di Sabah melibatkan 5,772 belia Sabah telah berjaya dilatih pada 2021 dan seramai 236 orang sedang mengikuti latihan pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Yakub berkata, kementeriannya kini sedang dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah Universiti Teknikal di Sabah dengan kerjasama pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) di lokasi yang tertakluk kepada dapatan daripada Kajian Kemungkinan.

“Kementerian juga telah mengadakan beberapa siri perjumpaan dengan Mara. Setakat ini mendapat respons positif. Universiti Teknikal ini bakal menerajui bidang latihan teknikal dan perdagangan bertaraf global dan lebih dinamik untuk memenuhi keperluan industri semasa selaras dengan ‘Sabah Human Capital Development Blueprint 2021 - 2035’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penyediaan rangkaian telekomunikasi 5G di Sabah akan dimulakan pada suku kedua tahun ini dengan 296 lokasi di Kota Kinabalu dan Penampang telah dipilih sebagai lokasi perintis untuk perkhidmatan itu dan akan diperluas ke kawasan lain di negeri itu secara berperingkat.

“Bagaimanapun ketersediaan perkhidmatan 5G bagi kegunaan perusahaan boleh diawalkan sekiranya terdapat permintaan bagi kes kegunaan tertentu pada kawasan yang telah dikenal pasti,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.